Pelupusan tanah Broga ikut prosedur, tidak libat kerugian - PKNS

Iklan
PKNS nafi berdepan kerugian dalam melupuskan aset tanah di Bukit Broga.

SHAH ALAM – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menegaskan dakwaan pelupusan tanah di Bukit Broga, Semenyih kepada Sutera Maya Resources Sdn Bhd pada tahun 2023 telah dilakukan mengikut prosedur yang sah dan tidak mengakibatkan sebarang kerugian.

Menurut perbadanan itu dalam satu kenyataan, keputusan menjual tanah berkenaan adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memperkukuhkan perniagaan teras dan memberi tumpuan kepada projek pembangunan lebih impak tinggi bagi manfaat rakyat Selangor.

Iklan
Iklan

PKNS juga menyangkal dakwaan bahawa tanah Broga adalah aset strategik, dengan menyatakan bahawa tanah tersebut mempunyai pelbagai kekangan yang membataskan potensinya untuk dibangunkan.

"Tanah tersebut merangkumi kawasan Hutan Simpan, tanah milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), cerun kritikal tahap 3 dan 4 serta kolam, yang secara fizikal dan perundangan tidak sesuai untuk pembangunan. Selain itu, terdapat isu pencerobohan serta struktur binaan haram di atas tanah berkenaan,” kata PKNS pada Khamis.

Iklan

PKNS turut menjelaskan bahawa pencairan aset tersebut dilakukan berdasarkan nilai pasaran ditetapkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Oleh itu, sebarang tuduhan bahawa pelupusan tanah dilakukan di bawah harga pasaran dianggap tidak berasas.

Iklan

"Sebagai badan berkanun kerajaan negeri, PKNS menegaskan bahawa setiap transaksi pelupusan aset dilakukan secara telus dan mengikut prinsip tadbir urus korporat yang baik.

"Semua proses pelupusan aset dijalankan dengan penilaian serta kelulusan yang telus dan berintegriti. Selain itu, setiap transaksi turut diaudit oleh Jabatan Audit Negara bagi memastikan akauntabiliti dalam setiap keputusan yang dibuat,” tambah kenyataan itu.

PKNS memberi jaminan bahawa mereka kekal komited dalam memastikan segala keputusan dibuat dengan penuh tanggungjawab serta kepatuhan kepada undang-undang demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

Isu pelupusan tanah Broga sebelum ini mencetuskan pelbagai spekulasi, dengan beberapa pihak mendakwa ia dilakukan tanpa ketelusan dan boleh merugikan kepentingan rakyat.

Kritikan turut datang daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang yang mendesak kerajaan negeri memberikan penjelasan lebih terperinci.

Bagaimanapun, PKNS menegaskan bahawa langkah pelupusan ini adalah sebahagian daripada strategi rasionalisasi aset yang telah lama dirancang, bertujuan untuk mengurangkan beban operasi serta memastikan kecekapan dalam pengurusan sumber negeri.

PKNS juga menyatakan kesediaan mereka untuk memberi penjelasan lanjut kepada mana-mana pihak yang masih ragu-ragu terhadap keputusan ini.