60 warga Malaysia mangsa sindiket tipu kerja di Kemboja diselamat

Iklan
Seramai 60 rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan diselamatkan pihak berkuasa Kemboja pada Sabtu lalu. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Seramai 60 rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan diselamatkan pihak berkuasa Kemboja pada Sabtu lalu.

Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh mengesahkan perkara itu dan turut memaklumkan kesemua mangsa berada dalam keadaan baik serta telah dibawa ke pusat tahanan imigresen di Siem Reap untuk proses selanjutnya.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, 25 mangsa telah selamat pulang ke Malaysia manakala, 11 orang lagi dijadualkan untuk dihantar pulang pada hari ini (Rabu).

"Baki 24 individu akan dihantar pulang secara berperingkat dalam masa terdekat.

Iklan

"Kesemua 60 mangsa adalah berasingan daripada 15 rakyat Malaysia yang turut menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Mynmar dan telah dihantar pulang dari Thailand pada 24 Februari lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya lagi, sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia komited untuk memperkukuhkan kerjasama serantau dalam memerangi pemerdagangan manusia khususnya memerangi penyalahgunaan teknologi oleh sindiket jenayah.

Iklan

Jelasnya, pendekatan tersebut selaras dengan Deklarasi Pemimpin ASEAN mengenai Pembanterasan Pemerdagangan Manusia Berpunca daripada Penyalahgunaan Teknologi yang diterima pakai semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 pada tahun 2023.

"Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan negara-negara anggota ASEAN dan rakan luar bagi meningkatkan kapasiti teknikal, memudahkan cara perkongsian pengalaman, menggalakkan pertukaran maklumat serta melaksanakan amalan terbaik dalam usaha membanteras pemerdagangan manusia secara lebih berkesan.

"Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada Kerajaan Kemboja atas bantuan dan kerjasama mereka dalam menyelamatkan rakyat Malaysia serta memudah cara proses penghantaran pulang mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, selain kerjasama serantau langkah berjaga-jaga individu juga penting dalam menangani isu ini.

Justeru, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan memastikan kesahihan tawaran pekerjaan melalui saluran rasmi bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa sindiket jenayah.

Rakyat Malaysia yang berada dalam kesulitan di luar negara juga digalakkan untuk mendapatkan bantuan daripada Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat.