IPOH - [DIKEMAS KINI] Pemuda UMNO Perak membuat laporan polis terhadap seorang individu dipercayai aktivis sebuah parti politik yang mengeluarkan komen jelik dan berbaur fitnah terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di laman sosial Facebook, baru-baru ini.
Ketuanya, Nazirul Jamaluddin berkata, menerusi hantaran komen di Facebook sebuah portal berita pada 1 Februari lalu, individu berkenaan telah menulis 'Ketua Barua Kafir Harbi Perak' di ruangan komen pautan berita bertajuk 'JAIPk diminta siasat khatib tidak baca khutbah Jumaat disediakan' yang memaparkan gambar Saarani.
Menurutnya, tuduhan kafir harbi adalah fitnah yang sangat berat kerana istilah tersebut merujuk kepada golongan bukan Islam yang memusuhi dan memerangi umat Islam.
"Gelaran kafir harbi itu sudah cukup berat, apatah lagi dilemparkan kepada pemimpin seagama yang bertanggungjawab menjaga portfolio agama Islam, seolah-olah menggambarkan Menteri Besar seorang pemimpin muslim yang sedang memerangi agama Islam.
"Kenyataan biadab itu bukan sahaja seperti mempersoalkan kredibiliti dan niat JAIPk (Jabatan Agama Islam Perak) dalam mengelola topik khutbah Jumaat.
"Malah tindakan itu menghasut masyarakat supaya mempertikaikan kuasa institusi agama yang dinaungi oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Laporan polis tersebut dibuat bersama-sama 11 Ketua Pemuda UMNO Bahagian di Perak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Nazirul berkata, tindakan tersebut dilihat mempunyai unsur-unsur jenayah dan berpotensi melanggar beberapa peruntukan undang-undang seperti Enakmen Jenayah Syariah Perak berkaitan menghina atau menyebabkan pandangan hina terhadap agama Islam.
Katanya, selain itu ia turut menjadi kesalahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyalahgunaan rangkaian komunikasi.
Jelasnya, perbuatan itu juga melanggar peruntukan di bawah Akta Hasutan 1948 berkaitan menghasut ketidakpercayaan terhadap institusi yang dilindungi.