Bantah RUU PSB: Pemuda Pas anti pembangunan - MP Pulai

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Suhaizan

JOHOR BAHRU – Pemuda Pas didakwa bersikap anti pembangunan selepas mengumumkan rancangan mahu mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi membantah Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) yang diperkenalkan kerajaan.

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, bantahan itu menunjukkan Pemuda Pas gagal memahami manfaat RUU berkenaan dalam meningkatkan taraf kehidupan rakyat di bandar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, RUU tersebut diperkenalkan bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi penduduk rumah pangsa termasuk isu keselamatan bangunan, kerosakan lif, sistem kumbahan, kebocoran bumbung serta kekurangan tempat letak kenderaan.

"RUU ini bertujuan menaikkan nilai rumah pemilik, mengurangkan kos penyelenggaraan dan memberi keselesaan kepada penduduk dengan infrastruktur yang lebih lengkap.

Iklan

"Dakwaan bahawa ia membolehkan pemaju mengusir penduduk sewenang-wenangnya adalah tidak benar kerana pemilik dilindungi oleh undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor turut menafikan tuduhan bahawa RUU tersebut menindas penduduk miskin dan memaksa mereka menyerahkan tanah tanpa kerelaan.

Iklan

Menurutnya, Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak terhadap harta, di mana tiada individu boleh dilucutkan pemilikannya kecuali mengikut undang-undang dan dengan pampasan yang adil.

"Fakta sebenar yang tidak disebut oleh Pemuda Pas ialah pemilik rumah yang terlibat dalam pembaharuan semula bandar ini bakal menerima unit gantian di tapak yang sama secara percuma. Ini bukan pengusiran tetapi satu bentuk pemodenan bagi kesejahteraan rakyat," jelasnya.

Pada Rabu di Dewan Rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pembaharuan semula bandar bukanlah agenda baharu di bawah kerajaan Madani tetapi telah dimulakan sejak 2012 dengan penggubalan Garis Panduan Pembaharuan Semula Bandar.

Beliau berkata, perbincangan awal telah dilaksanakan bagi menggubal akta khusus pembaharuan semula bandar untuk melancarkan proses pembangunan di sekitar Kuala Lumpur pada 2013, sebelum proses penggubalan akta itu diumum pada 2015.