GEORGE TOWN - Pelepasan kumpulan pertama sebanyak 10,000 ekor udang harimau di perairan Pulau Betong menandakan satu pencapaian penting dalam inisiatif Pelan Induk Pengimbangan Ekologi Penang South Island (PEOM).
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PICSB) Datuk Seri Farizan Darus berkata, program itu bagi memperkayakan sumber perikanan dan mengukuhkan usaha pemuliharaan marin di perairan selatan Pulau Pinang.
Menurutnya, program pelepasan stok ini adalah komponen penting dalam PEOM selain memperkukuhkan komitmen terhadap pemuliharaan marin dan perikanan lestari.
"Program ini juga merupakan inisiatif perintis untuk menilai keberkesanan usaha pelepasan stok ikan dan udang di selatan Pulau Pinang.
"Hasil kajian ini akan memberikan panduan berharga bagi usaha pemuliharaan pada masa hadapan," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Farizan turut menzahirkan terima kasih kepada Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM) atas kepakaran saintifik mereka dalam membimbing inisiatif ini.
Mengulas lanjut, Farizan berkata, sebanyak 42,000 ekor lagi udang harimau dan 25,000 ekor ikan siakap akan dilepaskan secara berperingkat di perairan sekitar Pulau Betong dan Pulau Kendi dalam tempoh lima bulan akan datang.
Katanya, unisiatif ini merupakan usaha kolaboratif yang melibatkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui pemaju projek Silicon Island Development Sdn Bhd, CEMACS dan agensi kerajaan berkaitan.
Sementara itu, Pengarah CEMACS, Datuk Dr Aileen Tan menekankan pertimbangan saintifik dan alam sekitar yang diambil dalam program ini.
"Pemilihan spesies bagi program pelepasan stok ini dibuat berdasarkan kriteria yang ketat untuk memastikan keseimbangan ekologi dan kelestarian jangka panjang.
"Kami hanya memperkenalkan spesies asal yang mempunyai kadar kelangsungan hidup yang tinggi di perairan Pulau Pinang bagi memastikan usaha pelepasan stok ini tidak mengganggu ekosistem sedia ada.
"Pemantauan berterusan akan dijalankan untuk menilai keberkesanan inisiatif ini yang berpotensi menjadi asas kepada usaha pemuliharaan yang lebih meluas pada masa hadapan," katanya.
Selain itu, katanya, CEMACS juga akan meneruskan kajian bagi menilai kejayaan program pelepasan stok ini serta memahami dengan lebih mendalam corak pergerakan dan migrasi udang serta ikan yang dilepaskan melalui kajian genetik.
Exco Agroteknologi, Keselamatan Makanan dan Pembangunan Koperasi Negeri, Fahmi Zainol berkata, inisiatif ini sejajar dengan matlamat kerajaan negeri untuk memastikan sumber perikanan yang mampan bagi komuniti pesisir pantai.
"Biodiversiti marin yang sihat akan memberikan manfaat langsung kepada nelayan tempatan dan kami berharap dapat melihat kesan positif daripada usaha ini terhadap ekosistem marin serta kelangsungan hidup komuniti perikanan kita," katanya.