ASEAN kekal guna cara diplomasi tangani isu Laut China Selatan

Iklan
Mohamed Khaled

GEORGE TOWN - ASEAN menekankan keperluan untuk terus melibatkan diri dalam diplomasi pertahanan serta menegaskan kepentingan menegakkan undang-undang antarabangsa dalam menangani konflik wilayah yang kompleks seperti Laut China Selatan.

Iklan
Iklan

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun kerjasama maritim pelbagai hala sedia ada akan diteruskan, Malaysia selaku pengerusi ASEAN tahun ini menekankan keperluan setiap negara untuk sentiasa mematuhi undang-undang antarabangsa dan undang-undang laut.

"Kita memang ada kerjasama maritim pelbagai hala dan itu akan diteruskan. Namun, pada masa yang sama, kita menekankan bahawa setiap negara, sama ada negara anggota ASEAN atau tidak, perlu sentiasa mematuhi undang-undang antarabangsa dan undang-undang laut.

Iklan

"Terdapat banyak latihan ketenteraan maritim antara negara ASEAN dan juga negara luar ASEAN, tetapi perlu diingat bahawa kita mahu memastikan tiada peningkatan konflik,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat) di sini pada Rabu.

Laut China Selatan kekal sebagai antara wilayah yang paling dipertikaikan di dunia dengan beberapa negara termasuk China, Malaysia, Vietnam, Filipina dan Brunei mempunyai tuntutan bertindih.

Iklan

Menurut Mohamed Khaled, Malaysia sebagai negara maritim yang mempunyai empat laut utama iaitu Laut Sulu, Laut Sulawesi, Laut China Selatan dan Selat Melaka amat menitikberatkan keselamatan perairan termasuk isu tuntutan bertindih dan sumber di kawasan terbabit.

Sementara itu, ASEAN tidak mengetepikan kepentingan memberi perhatian dan meningkatkan kesedaran terhadap perlindungan infrastruktur kabel bawah air susulan insiden kabel kuasa dasar laut terputus di Laut Baltik.

Mohamed Khaled berkata, sudah tiba masanya infrastruktur kabel bawah air di rantau ini diberikan perhatian dari sudut pertahanan di bawah ADMM yang sedia ada.

Sementara itu, Mohamed Khaled turut mengesahkan bahawa Majlis Keselamatan Rusia telah menghubungi dan meminta untuk bertemu dengannya serta beberapa pegawai tertinggi lain di Malaysia.

Dilaporkan bahawa Setiausaha Majlis Keselamatan Rusia, Sergei Shoigu telah memulakan lawatan kerja ke Indonesia dan Malaysia daripada 24 hingga 28 Februari untuk membincangkan isu keselamatan dan pertahanan.