Cipta gelombang FOMO kempen baca, cinta al-Quran

Iklan
Hussamuddin ketika menyampaikan ucapan dalam majlis Taklimat Sinergi Media sempena World #QuranHour 2025/1446H bertempat di Studio My #QuranTime Kompleks Kumpulan Karangkraf, di Shah Alam pada Rabu. FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABD WAHID.

SHAH ALAM - Golongan muda yang menjadi peneraju media di negara ini diharapkan dapat mencipta satu gelombang baharu selari peredaran zaman iaitu 'fear of missing out' atau FOMO kempen membaca dan mencintai al-Quran.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, ia boleh dianggap sebagai cabaran yang mesti disahut memandangkan manusia zaman sekarang berdepan masalah spiritual, mental, adab dan tatasusila.

Iklan
Iklan

Menurut Penasihat Kumpulan Karangkraf itu, umat Islam di negara ini masih lagi dalam keadaan berpecah-belah dan tidak bersatu padu berikutan terlalu terikat dengan fahaman masing-masing.

Justeru, katanya, gelombang kempen World #QuranHour 2025 menerusi Surah Al-Saff yang bakal digerakkan beberapa media tempatan perlu mengguna pakai teknologi moden dan kaedah pemujukan relevan bagi menarik minat masyarakat.

Iklan
Hussamuddin. FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABD WAHID.

"Jadi, tahun ini kita pilih Surah Al-Saff dan diharapkan ia boleh menyatupadukan ummah, semua orang lupakan fahaman atau aliran masing-masing. Kita pergi kepada satu aliran sahaja iaitu al-Quran.

"Sekarang kita nak cipta satu lagi trend FOMO berkempen untuk cintakan al-Quran. Saya dah tak ada kepakaran dan teknologi itu jadi kalian yang muda-muda kena fikir bagaimana kalau tak berkempen, mereka akan ketinggalan dua kali iaitu sekarang serta di akhirat nanti," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika majlis taklimat Sinergi Media sempena World #QuranHour 2025/1446H bertempat di Studio My #QuranTime Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff; Ahli Lembaga Pemegang Amanah WUIF, Ahmad Yani Abd Manaf; Ketua Pegawai Penyelidik WUIF merangkap pentaddabur, Fazrul Ismail dan qari, Syukri Ali.

World #QuranHour kali ini bakal berlangsung di lokasi perdana iaitu Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 25 Mac depan bersamaan Ramadan ke-24 bermula jam 12 hingga 1 tengah hari.

Organisasi media yang turut hadir bagi menjayakan penganjuran World #QuranHour bertemakan #SavingTheUmmah tersebut ialah Astro Oasis selaku penyiar utama, Sinar Harian, Sinar Daily dan Nu Ideaktiv.

Selain itu, Bernama, Astro Awani, TV Alhijrah, TV3, RTM, TV9, Media Prima, Utusan TV, Utusan Malaysia, Media Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), TV IKIM, IKIM FM, Zayan dan Denaihati.com.

UIAM, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Karya Bestari, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Malaysia (MPAM), Akademi Sinergi Ikhlas, Rumah Ngaji My#HadithTime dan Soul Fitness juga turut serta selaku rakan strategik.

Hussamuddin berpandangan, usaha sedemikian boleh mendatangkan impak tinggi dengan adanya penglibatan media arus perdana dalam program terbabit.

Tambah beliau lagi, siri World #QuranHour yang bermula sejak 2015 diharapkan dapat mencipta gelombang lebih besar dan mega apabila memasuki tahun ke-10 penganjuran.

"Tak mengapa (kalau mula dengan pasukan kecil)... Kami pun sama ketika mula-mula laksana program ini 10 tahun dulu ada empat orang sahaja.

"Cipta gelombang kesedaran lagi besar... lagi besar, tahun depan gelombang baharu pula keluar. Kalau My#QuranHour dan My#QuranTime bukanlah gelombang, sebaliknya platform untuk cipta tabiat, budaya serta cara berfikir.

"Ia dua perkara berbeza. Tetapi, World #QuranHour ialah apabila seluruh dunia buka al-Quran, baca dan berinteraksi secara serentak selama satu jam, itulah saya rasa masuk tahun ke-10 kena ada perubahan daripada golongan muda ini," ujar beliau.