KOTA KINABALU - Pengguguran pendakwaan oleh Jabatan Peguam Negara terhadap mahasiswa yang terlibat dalam perhimpunan pada 31 Disember lalu di Menara Kinabalu, Likas, di sini, bukti bahawa tekanan rakyat mampu mengubah keputusan.
Timbalan Presiden Suara Mahasiswa, Koordinator Gempur Rasuah Sabah, Qistina Qaisara Syahril Akmar mendakwa bahawa Suara Mahasiswa melihat pendakwaan terhadap presidennya yang juga sebagai Koordinator Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah, Muhamad Fadhil Muhamad Kasim sebagai bukti salah urus dan percanggahan dalam keputusan kerajaan.
"Pengguguran pendakwaan itu bukan ihsan kerajaan tetapi bukti bahawa tekanan rakyat mampu mengubah keputusan yang zalim.
"Gerakan mahasiswa, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat telah memberi tekanan berterusan sehingga akhirnya kerajaan terpaksa tunduk.
"Ini mengukuhkan satu hakikat penting kuasa rakyat bukan sekadar di peti undi, tetapi juga dalam menuntut keadilan setiap masa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, pada 13 Februari lalu kerajaan mengumumkan pemindaan Akta Perhimpunan Aman serta moratorium ke atasnya.
"Namun, hanya empat hari kemudian, Peguam Negara tetap meneruskan pendakwaan terhadap Fadhil di bawah akta yang sepatutnya dibekukan.
"Tindakan ini jelas menunjukkan cubaan sistematik untuk menakut-nakutkan mahasiswa daripada bersuara mengenai isu negara," katanya.
Sehuhungan itu, Qistina Qaisara menegaskan bahawa suara mahasiswa tidak akan dibungkam.
"Ini adalah kemenangan rakyat," ujarnya yang juga mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Sebelum itu, Jabatan Peguam Negara pada Rabu telah mengeluarkan kenyataan berhubung laporan media mengenai kes perhimpunan tanpa notis kebenaran di hadapan Menara Kinabalu, Likas.
Dalam kenyataan itu menyatakan bahawa, selepas pertimbangan dibuat dengan teliti Jabatan Peguam Negara telah memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan dan menghentikan prosiding terhadap individu yang terlibat selaras dengan seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.