SHAH ALAM - Kerajaan disaran membuat perubahan dalam dasar pelantikan ketua pegawai eksekutif (CEO) dan ahli lembaga pengarah syarikat subsidiari agensi persekutuan dengan melantik figura cemerlang dari sektor swasta ke jawatan itu bagi mengelakkan syarikat berkenaan terus mengalami kerugian.
Perunding Kewangan Rakyat merangkap Pengasas Ultra Mind Resources, Shamsuddin Kadir berkata, pelantikan individu yang kompeten dari sektor swasta tersebut diyakini akan dapat memastikan syarikat subsidiari agensi persekutuan lebih berdaya saing.
"Saya berpendapat kena ambil orang luar iaitu dari sektor swasta dan bukan dari sektor kerajaan untuk isi jawatan CEO dan ahli lembaga pengarah ini sebab mentaliti berlainan antara orang makan gaji kerajaan dengan yang makan gaji di sektor swasta.
"Jadi CEO dan ahli lembaga pengarah mesti orang swasta bukannya orang kerajaan yang berpengalaman 40 tahun umpamanya malah orang baharu pun boleh dipertimbangkan kalau dia tunjukkan prestasi cemerlang di syarikat swasta tempat dia bekerja,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin melaporkan, sebanyak 86 syarikat subsidiari atau 39.6 peratus daripada keseluruhan 217 anak syarikat milik agensi persekutuan merekodkan kerugian berjumlah RM2.81 bilion pada 2023.
Daripada jumlah itu, 40 syarikat subsidiari daripada lima agensi persekutuan mencatatkan kerugian paling tinggi iaitu RM2.66 bilion.
Menurut Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan angka susut paling tinggi pada 2023 menerusi 21 syarikat subsidiarinya yang rugi RM941 juta, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menerusi lima syarikat subsidiari pula mencatatkan kerugian RM720 juta diikuti Lembaga Tabung Haji (TH) rugi sebanyak RM690 juta melalui empat syarikat subsidiari.
Mengulas lanjut, Shamsuddin menegaskan, gaji CEO yang lazimnya tinggi juga perlu dinilai semula selain perlu dilakukan pengubahsuaian kontrak iaitu kontrak perlu berdasarkan prestasi.
"Gaji asas CEO seharusnya diberi secara berpadanan sahaja dan selebihnya digantikan dengan pembayaran bonus mengikut keuntungan yang berjaya diraih syarikat sekali gus akan mengalakkan mereka yang memegang jawatan tersebut meningkatkan prestasi untuk mencapai sasaran.
"Dari segi cadangan supaya kontrak perlu berdasarkan prestasi pula, boleh dibuat syarat misalnya CEO perlu pastikan kenaikan keuntungan syarikat 10 peratus setahun dan jika dia tidak capai sasaran itu, dia boleh digugurkan secara automatik.
"Jadi waktu perkhidmatannya bukan ditentukan oleh jumlah tahun yang termaktub dalam kontrak semata-mata,” ujarnya.
Shamsuddin turut menyarankan supaya laporan audit dikeluarkan dalam dua versi iaitu berdasarkan akaun mengikut suku atau separuh tahun dan akaun tahunan seperti sekarang tetapi laporannya perlu dikeluarkan lebih cepat bagi memastikan setiap kerugian atau kebocoran yang dialami syarikat dapat segera diambil tindakan.
Tambahnya, bagi meperbaiki prestasi syarikat subsidiari yang bermasalah dan mengalami kerugian juga kerajaan boleh melantik badan audit luar untuk membuat audit.
"Kalau boleh biar pihak swasta buat audit syarikat subsidiari yang rugi ini dengan kekerapan akaun dinilai tiga bulan atau enam bulan sekali. Ini kerana kalau rugi, tidak boleh tunggu habis tahun.
"Umpamanya seperti kalau orang menghidap kanser tahap empat, kalau laporan kesihatannya dikeluarkan dua tahun selepas itu, penyakitnya jadi lebih serius.
"Kalau sudah tahu suku pertama syarikat rugi, tindakan boleh terus dilakukan. Jangan lambat keluarkan laporan audit sebab perkara ini kritikal untuk rakyat ekoran ada antara pelaburan yang dibuat melibatkan duit masa depan rakyat seperti KWSP.
"Perkara ini juga menyebabkan dividen rendah. Walaupun ada yang cakap kadar enam peratus dividen yang dijangka diberi KWSP tahun ini adalah banyak, mungkin kalau tidak ada kebocoran sebegini dividen yang mampu diberi boleh capai tujuh peratus atau lebih,” ulasnya.
Kata beliau lagi, sekiranya penilaian akaun syarikat dibuat untuk tempoh setahun pula seperti dari Januari sehingga Disember, sepatutnya sekitar Mac tahun berikutnya laporan audit perlu siap dan mesti dibentang agar langkah susulan yang pantas dapat dibuat.