AI, mata wang kripto berisiko cetus ancaman siber, rasuah digital

Iklan
Kemajuan teknologi kompleks seperti kecerdasan buatan (AI) dan mata wang kripto boleh mencipta sistem yang sukar difahami sekali gus membuka ruang kepada ancaman siber serta mewujudkan bentuk baharu rasuah. Gambar hiasan, gambar kecil: Abdul Aziz Azizam

SHAH ALAM - Kemajuan teknologi kompleks seperti kecerdasan buatan (AI) dan mata wang kripto boleh mencipta sistem yang sukar difahami sekali gus membuka ruang kepada ancaman siber serta mewujudkan bentuk baharu rasuah dalam ekosistem digital.

Pensyarah kanan Komunikasi Liberal Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UITM), Dr Abdul Aziz Azizam berkata, kerumitan teknologi seperti blockchain, AI, dan mata wang kripto boleh dimanfaatkan oleh individu atau kumpulan yang tidak jujur untuk melakukan perbuatan haram tanpa mudah dikesan.

Iklan
Iklan

"Ini termasuk manipulasi dan pengubahan data mengikut kepentingan pihak tertentu,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkongsi, penyalahgunaan teknologi seperti ancaman siber boleh mewujudkan rasuah bentuk baharu.

Iklan

Beliau berkata, Malaysia perlu memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk membangunkan penyelesaian teknologi dan amalan terbaik dalam ketelusan serta tadbir urus.

Azam turut menitikberatkan kepentingan untuk meningkatkan kecekapan dan kapasiti institusi bagi menangani cabaran serta krisis semasa.

Iklan

Tambahnya, kerjasama erat diperlukan daripada semua pihak berkepentingan termasuk entiti perniagaan dan korporat, pelabur, peniaga, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta organisasi masyarakat sivil (CSO) dalam usaha memerangi ancaman rasuah.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pihak bertanggungjawab perlu bersedia meneliti perkara berkenaan secara menyeluruh dan bersedia dengan undang-undang yang lebih ketat dalam membendung rasuah bentuk baharu.

"Latihan kepada pegawai bertanggungjawab dengan teknologi baharu perlu lebih dipergiatkan. Saya yakin kemahiran dan kefahaman pihak penguatkuasa mampu membendung masalah ini sebelum terlewat.

"Kerajaan juga boleh bekerjasama rapat dengan organisasi pembekal teknologi. Ini bakal memberi kesan baik dalam membanteras korupsi bentuk baharu serta meningkatkan nilai etika dalam inovasi teknologi,” kata beliau.