SHAH ALAM – Pemilik dan pengarah syarikat antara 18 individu direman selama enam hari disyaki terbabit dalam rasuah bagi meluluskan permohonan kemasukan warga asing sebagai pemegang saham di kilang-kilang sisa elektronik (e-waste) di Selangor dan Johor.
Perintah reman sehingga 2 Mac itu dikeluarkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman di Mahkamah Majistret 2, Ayer Keroh, Melaka pagi Selasa, susulan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada 13 lelaki dan lima wanita berusia antara 30 hingga 60-an ditahan dalam satu operasi bersepadu oleh SPRM bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) antara jam 7 hingga 10 malam semalam.
"Serbuan dilakukan ke atas 12 premis sekitar Teluk Panglima Garang dan Segamat.
"Kesemua premis ini disyaki menjalankan pemprosesan dan pelupusan bahan mentah terlarang seperti gentian kaca, plastik, besi dan logam," katanya.
Sumber itu juga memaklumkan, salah seorang suspek dipercayai telah membayar wang rasuah kepada penjawat awam bagi mengelakkan tindakan diambil ke atas kilang-kilang miliknya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.
"Kita sedang mengenal pasti individu lain yang mungkin terlibat dalam rangkaian rasuah ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bersubahat," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan operasi bersepadu pada Isnin di sekitar Johor dan Selangor hasil tindakan SPRM bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi Op X ke atas 12 premis.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, premis-premis tersebut disyaki memproses dan melupus bahan-bahan mentah yang tidak dibenarkan seperti gentian kaca, plastik, besi dan logam.