Laksana akta URA: Kebimbangan Melayu berasas – Hassan

Iklan
Hassan

JOHOR BAHRU – Kebimbangan orang Melayu terhadap pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (URA) mempunyai asas yang kukuh.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, keresahan itu timbul selepas melihat apa yang berlaku kepada penduduk Kampung Sungai Baru yang bersebelahan dengan Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

"Satu contoh di hadapan mata orang Melayu ialah nasib penduduk-penduduk Melayu yang merupakan pemilik rumah dan tanah di Kampung Sungai Baru yang bersebelahan Kampung Baru, Kuala Lumpur.

"Kawasan tersebut juga terletak bersebelahan segi tiga emas Kuala Lumpur yang menempatkan KLCC dan Menara Berkembar Petronas.

Iklan

"Inilah yang dibimbangi oleh orang Melayu. Mereka takut kejadian di Kampung Sungai Baru itu berlaku di tempat-tempat lain di bandar apabila akta Pembangunan Semula Bandar akan berkuat kuasa nanti," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, sebelum ini sudah banyak kes pengambilan tanah oleh kerajaan menerusi Akta Pengambilan Tanah 1960 yang menyebabkan rakyat berada dalam kedudukan lemah dari segi hak pemilikan.

Iklan

"Justeru itu, dengan adanya satu lagi akta yang berkaitan pengambilan hartanah atas nama pembangunan semula bandar telah menimbulkan keresahan dan kebimbangan rakyat," katanya.

Pada 19 Febuari, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) tidak akan meminggirkan, mengancam atau merampas hak golongan tertentu berdasarkan kaum atau pendapatan khususnya golongan B40, kata

Beliau menjelaskan, penetapan kriteria kawasan yang terlibat adalah berdasarkan kepada keadaan fizikal, infrastruktur, utiliti, sosial dan pengurusan hartanah komuniti yang memberi kesan kepada kemerosotan kualiti hidup, ekonomi dan persekitaran yang tidak lagi kondusif atau mendatangkan bahaya.

Selain itu jelasnya, pelaksanaan PSB juga perlu mendapatkan persetujuan pemilik hartanah melalui perundingan dan bukan pengambilan secara paksa selain turut memastikan pemaju tidak menjalankan rundingan dengan pemilik hartanah tanpa campur tangan kerajaan.

"Kaedah perundingan yang dijalankan adalah secara menyeluruh antara pihak berkuasa Persekutuan atau negeri dengan setiap pemilik hartanah yang sah dan berdaftar serta ia dikemudi oleh Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh wakil kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat hari ini setelah dibahas 27 Ahli Parlimen.