KUALA LUMPUR - Tiada tuduhan rasmi dikenakan ke atas Profesor Dr Mohd Ekhwan Toriman ketika meletak jawatan sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjelaskan, proses tersebut dilakukan Mohd Ekhwan dengan menghantar surat rasmi kepada pihak pengurusan.
"Proses yang dibuat Naib Canselor UKM itu adalah tindakan beliau menghantar surat (peletakan jawatan) tanpa ada tuduhan secara rasmi yang dikenakan kepadanya.
"Ia bukan kerana siasatan sudah dibuat dan di muktamad, maka beliau rela untuk meletak (jawatan), tidak," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab celahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang bertanya mengenai dakwaan salah laku yang dilakukan bekas Naib Canselor UKM itu sehingga beliau memutuskan untuk meletak jawatan.
Sebelum ini media melaporkan, Mohd Ekhwan setelah mengumumkan peletakan jawatan memaklumkan sudah membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung segala fitnah serta tohmahan yang dilontarkan kepadanya.
Ia susulan ada pihak yang mendakwa hasil audit universiti tersebut menunjukkan berlaku salah guna kuasa dan penyelewengan serta tidak mematuhi proses perolehan yang mengaitkan namanya.
Sementara itu Zambry menegaskan, proses pelantikan Naib Canselor UKM yang baharu kelak tidak melibatkan campur tangan ahli politik atau pihak berpengaruh.
Malah beliau berkata, proses tersebut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
"Sama ada menteri atau mana-mana pihak (terlibat proses pelantikan), itu adalah anggapan yang diadakan oleh pihak luar
"Siapa yang terbaik dalam kalangan terbaik yang akan dipilih, tidak timbul dakwaan (ada campur tangan) tersebut," ujarnya.