JKPK Kesihatan syor kekalkan waktu bekerja 42 jam seminggu

Iklan
JKPK Kesihatan mencadangkan agar KKM dan JPA mengekalkan waktu bekerja petugas sektor itu selama 42 jam seminggu seperti dilaksanakan sebelum ini. Gambar hiasan (Gambar kecil: Suhaizan)

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan mencadangkan agar Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengekalkan waktu bekerja petugas sektor itu selama 42 jam seminggu seperti dilaksanakan sebelum ini.

Pengerusinya, Suhaizan Kaiat berkata, keputusan itu dibuat selepas selesai mengadakan tiga sesi libat urus bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Jururawat Malaysia (MNA) dan Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia (PPPM) bagi mendengar sendiri isu berbangkit.

Iklan
Iklan

"Penambahan masa kerja daripada 42 jam kepada 45 jam seminggu boleh mendatangkan risiko kesihatan antaranya ialah peningkatan tekanan kerja yang boleh membawa kepada keletihan fizikal dan mental, peningkatan risiko kecuaian dalam menjalankan tugas, pengurangan masa berkualiti bersama keluarga, serta pertambahan risiko kemalangan semasa perjalanan ke dan dari tempat kerja.

"Perbandingan dengan penanda aras antarabangsa juga menunjukkan bahawa waktu bekerja yang dicadangkan adalah tidak wajar. Negara-negara maju seperti United Kingdom (UK) dan Jepun menetapkan 40 jam seminggu, Australia pada 38 jam seminggu, manakala Perancis hanya 35 jam seminggu. Singapura, negara jiran terdekat, juga mengamalkan waktu kerja 40 jam seminggu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, KKM dilapor berhasrat untuk menambah waktu kerja jururawat dari 42 jam kepada 45 jam seminggu melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 berkaitan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Bagaimanapun, tindakan itu mendapatkan pelbagai reaksi termasuk bantahan terhadap syor yang dikemukakan tersebut.

Iklan

Sementara itu, Suhaizan dalam masa sama berkata, Malaysia masih menghadapi isu kekurangan kakitangan kesihatan yang menyebabkan beban tugas lebih tinggi berbanding negara luar, sekali gus tidak munasabah untuk menambah waktu bekerja melebihi penanda aras antarabangsa.

Beliau menambah, penambahan tiga jam seminggu juga akan mengakibatkan kehilangan 12 jam sebulan yang bersamaan dengan lebih daripada sehari waktu bercuti dan situasi ini memberi kesan terhadap kesejahteraan kakitangan.

"Berdasarkan kepada kajian dilaksanakan oleh Delegasi Jururawat Malaysia (DJM) memberikan gambaran jelas tentang pendirian kakitangan kesihatan. 95.5 peratus daripada 28,373 responden yang terlibat, menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan penambahan masa tiga jam," katanya.

Dalam pada itu, JKPK Kesihatan juga katanya turut mengemukakan beberapa syor penyelesaian jangka masa panjang bagi isu yang mendapat perhatian ramai tersebut.

"Sebagai langkah penyelesaian jangka panjang, fokus perlu diberikan kepada penambahan bilangan kakitangan kesihatan dengan segera untuk mengurangkan beban tugas sedia ada dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat," ujarnya.