KLUANG – Seorang lelaki dikenali sebagai Along Kubur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas tiga pertuduhan, termasuk mengedar dadah, menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan memandu secara berbahaya, pada pertengahan bulan ini.
Tertuduh, Mohd Faiz Zailan Kamaruddin, 41, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengedar 19.30 gram heroin di lampu isyarat Pasaraya Kluang Mall pada jam 9 pagi, 14 Februari lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menghalang tugas seorang anggota polis di lampu isyarat Jalan Haji Manan, Kluang, pada hari dan waktu yang sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda bagi kesalahan ini.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, bapa dua anak itu didakwa memandu secara berbahaya dari arah Kampung Melayu ke sekitar bandar Kluang.
Dia dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000, serta hilang kelayakan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh merayu agar hukuman diringankan kerana mempunyai dua anak masih bersekolah, baru berkahwin tahun lalu, dan mengalami kecederaan patah kaki kanan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurfara Fazilun Izlyin Ahmad tidak menawarkan jaminan bagi kesalahan mengedar dadah serta memohon hukuman setimpal bagi dua lagi pertuduhan atas kepentingan awam.
Mahkamah menetapkan 29 April sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan laporan kimia.
Sebelum itu, video memaparkan adegan kereta polis peronda mengejar kereta berwarna kuning di Kampung Melayu dan bandar Kluang tular di laman sosial.
Video dimuat naik orang awam itu turut mendapat ribuan tontonan yang terkejut dengan kejadian itu dan menyifatkan seperti aksi filem.