PLKN 3.0 pupuk keyakinan, disiplin, semangat patriotik

Iklan
Gambar dari kiri: Wei Pin, Ivy, Muhammad Zulirfan

KUALA LUMPUR - Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 1/2025, merasakan ilmu dan kemahiran latihan asas ketenteraan yang diserapkan kepada mereka dapat memupuk keyakinan dan disiplin tinggi dalam diri.

Malah, tempoh latihan selama 45 hari yang dikendalikan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia, dirasakan tidak cukup untuk pelatih benar-benar mendalami ilmu ketenteraan.

Iklan
Iklan

Pelatih, Wong Wei Pin, 20, berkata, dia berharap supaya kerajaan dapat melanjutkan lagi tempoh latihan PLKN pada masa akan datang.

"Saya meminati bidang ketenteraan selepas melihat perbarisan pada sambutan Hari Kemerdekaan membabitkan pasukan komando, Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya ketika ditemui selepas majlis perbarisan tamat latihan PLKN 3.0 Siri 1/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, di sini, pada Selasa.

Iklan

Beliau yang juga pelajar jurusan undang-undang di sebuah kolej swasta, dia bercita-cita menjadi seorang komando dalam ATM.

"Peluang menyertai PLKN 3 0 benar-benar amat dinantikan namun saya rasa tempoh latihan ini terlalu sekejap.

Iklan

"Saya merasakan semua pelatih yang datang dari pelbagai latar belakang serta berlainan agama dan bangsa hidup seperti keluarga dan adik beradik," katanya.

Wei Pin berkata, program itu memupuk semangat perpaduan dan kenegaraan antara kami semua pelatih yang akan menjadi generasi seterusnya dalam pembangunan negara di masa hadapan.

Wei Pin yang berasal dari Kuala Selangor dan meminati bidang pertempuran serta senjata, merancang untuk menyertai ATM selepas menamatkan pengajian kelak dan berusaha menjadi seorang Komando ATM.

Bagi pelatih berbangsa Orang Asli, Ivy Nurshafica Amaynie, 24, berkata, PLKN 3.0 menjadikan dirinya seorang yang mudah bergaul dan berkomunikasi secara lebih yakin dengan orang sekeliling.

"Sebelum ini saya seorang malu berhadapan dengan orang ramai, selain tidak mempunyai keyakinan diri namun selepas menyertai latihan berkaitan modul kenegaraan dan jati diri, ianya berjaya menguatkan semangat dan mental," katanya.

Menurutnya, jurulatih dan rakan-rakan pelatih lain dari pelbagai bangsa turut memberikan semangat baharu dalam menghadapi sebarang cabaran kehidupan pada masa akan datang.

"Saya yakin, sekiranya tempoh program ini dilanjutkan mungkin sehingga dua bulan atau tiga bulan, lebih banyak ilmu dan pemahaman yang kami akan pelajari," katanya.

Sementara itu, dorongan keluarga menjadi pemangkin dan semangat kepada seorang remaja, Muhammad Zulirfan Mustaqim Mohd Zukri, 18, untuk menyertai PLKN kali ini.

Muhammad Zulirfan Mustaqim berkata, ibunya banyak memberi kata-kata semangat dan nasihat.

"Saya bercita-cita menjadi seorang anggota tentera, latihan PLKN ini menjadi platform awal untuk saya mencapai impian tersebut.

"Latihan PLKN bagus dalam membina jati diri dan disiplin individu.

"Sebelum menyertai latihan, saya tidak tahu modul PLKN, banyak ilmu diperoleh setelah menyertai program ini," katanya.