116 pelatih kumpulan pertama tamat latihan PLKN 3.0

Iklan
Adly bergambar bersama pelatih PLKN 3.0 Siri 1/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, di sini, pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Seramai 116 pelatih berjaya menamatkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 1/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, di sini, pada Selasa.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pelatih yang terdiri daripada 73 lelaki dan 43 wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun itu telah menyertai latihan secara sukarela selama 45 hari.

Iklan
Iklan

"Mereka hadir secara sukarela daripada pelbagai latar belakang, komposisi kaum, agama dan lokaliti.

"Mereka telah didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran berdasarkan 30 peratus modul kenegaraan dan 70 peratus latihan asas ketenteraan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis perbarisan tamat latihan PLKN 3.0 Siri 1/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, di sini, pada Selasa.

Iklan
Pelatih lelaki dan wanita memulakan latihan pandu arah pada Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 2025 di Ladang Bukit Lagong. - Foto fail Bernama

Turut hadir Ketua Pengarah, Jabatan Latihan Khidmat Negara, Mejar Jeneral Datuk Ya'cob Samiran dan Asisten Ketua Staf Operasi Latihan Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Zahari Ariffin.

Adly berkata, modul latihan dan pengajaran itu bakal menjadi dasar pembentukan jati diri kepada setiap pelatih untuk memimpin serta menjadi negarawan pada masa hadapan.

Iklan

"Setiap pelatih diberikan pendedahan mengenai pilihan kerjaya masa hadapan meliputi bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dan industri, badan beruniform dan sukarela," katanya.

Mengulas mengenai PLKN 3.0 siri 1/2025 ini, Adly memberitahu, pada mulanya seramai 120 pelatih tampil mendaftarkan diri secara sukarela selepas dipanggil menyertai latihan, empat daripada mereka tidak dapat menamatkan latihan.

"Dua pelatih terbabit tidak dapat menamatkan latihan, selepas dipanggil untuk menyertai latihan bersama skuad kebangsaan dalam acara silat bagi mewakili negara, seorang lagi menyambung pelajaran.

"Bagi dua pelatih lagi disahkan mengalami masalah kesihatan dan perlu menjalani rawatan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Adly berkata, pihak kementerian dan PLKN akan memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan termasuk isu berkaitan pakaian celoreng ketenteraan didakwa tidak mencukupi.

"Sudah semestinya kita akan berusaha memastikan pakaian celoreng ini mencukupi, malah pakaian digunakan untuk Siri 1/2025 ini akan digunakan semula untuk peserta PLKN 3.0 siri 2/2025 iatu bermula 11 Mei hingga 24 Jun 2025 dan Siri 3/2025 bermula 7 September sehingga 21 Oktober depan," katanya.

Adly turut merakamkan penghargaan kepada barisan jurulatih, komandan, kumpulan pembina modul, pensyarah dan staf PLKN Rejimen 515 Askar Wataniah kerana telah berjaya menyuntik ilmu dan latihan kepada setiap pelatih dalam menghadapi segala cabaran mendatang.