24 juta pek beras putih tempatan bersubsidi 10kg berada di pasaran mulai Mac

Iklan
Badrul Hisham

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan 24 juta beg 10 kilogram beras putih tempatan (BPT) bersubsidi akan berada di pasaran seluruh Semenanjung bermula Sabtu ini.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, pembelian BPT bersubsidi itu dihadkan kepada dua kampit setiap bulan bagi 400,000 ketua isi rumah (KIR) miskin dan dijual pada harga RM26.

Iklan
Iklan

"Kerajaan sebelum ini telah membuat keputusan untuk melaksanakan intervensi dengan subsidi khusus sebanyak RM150 juta dalam tempoh enam bulan.

"Jadi kami subsidi ini akan menitik terus kepada kumpulan sasar," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Selasa.

Iklan

Ujar beliau, tatacara penjualan beras akan dikeluarkan kepada semua peruncit bagi memastikan BPT bersubsidi dijual kepada mereka yang disasarkan.

"Berdasarkan penggunaan per kapita (PCC), setiap orang mengambil 76 hingga 77kg beras, jadi jumlah tersebut lebih daripada mencukupi," jelas Badrul.

Iklan

Sebelum ini, Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu, di Dewan Rakyat mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan RM150 juta untuk memastikan bekalan BPT mencukupi di pasaran.

Peruntukan itu digunakan untuk menstabilkan bekalan dengan sasaran pengeluaran 24 juta kampit mengandungi 10kg BPT bagi menampung permintaan selain mengekalkan harganya pada kadar RM2.60 sekilogram.

Sementara itu, Badrul berkata, sebanyak 20,000 kampit BPT bersubsidi akan mula dijual menerusi Program Jualan Agro Madani di Kedah pada Khamis ini.

"Majlis ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan jangkaan pengunjung sehingga 7,000 orang.

"Ini adalah kumpulan pertama BPT bersubsidi berada di pasaran sebelum secara rasminya pada 1 Mac," kata beliau.

Menurutnya, pengagihan beras dibuat mengikut keperluan setempat seperti miskin bandar dan luar bandar.

"Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah ini akan membawa beras kepada mereka, tetapi kebanyakannya adalah daripada 36,000 peruncit sedia ada berdasarkan kepada pemborong yang telah dikenal pasti.

"Kawasan perumahan pangsapuri di bandar sebenarnya mereka akan memilih beras murah, manakala golongan berpendapatan tinggi tidak memilih beras ini," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai sekatan pembelian terhadap warga asing, Badrul menjelaskan keutamaan BPT bersubsidi adalah kepada rakyat Malaysia.

"Kementerian sedang berbincang untuk mendapatkan keputusan daripada kerajaan supaya BPT subsidi ini untuk rakyat tempatan kerana kita tahu kerajaan mahu bantu rakyat," katanya.

Mengulas mengenai mekanisme pembelian BPT bersubsidi, beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menetapkan untuk pembeli menunjukkan kad pengenalan.

"Kami mahu rakyat faham dasar kerajaan, siapa yang patut beli (BPT bersubsidi).

"Kami cuba didik rakyat dahulu dan jika ia tidak menjadi, kita akan bergerak kepada pelan lain," katanya.