59 tahun transformasi sistem tol di negara kita

Iklan
Plaza tol pertama dibina di Tanjung Malim, Perak pada tahun 1966, menandakan titik permulaan sistem tol di negara ini.

SISTEM lebuh raya bertol di Malaysia mengalami evolusi ketara sejak diperkenalkan lebih lima dekad lalu.

Plaza tol pertama dibina di Tanjung Malim, Perak pada tahun 1966, menandakan titik permulaan sistem tol di negara ini. Lebuh Raya Tanjung Malim-Slim River sepanjang 20 kilometer itu menjadi perintis kepada sistem kutipan tol yang terus digunakan sehingga kini.

Iklan
Iklan

Kutipan tol pertama dilakukan di plaza tol tersebut pada 16 Mac 1966, bermula jam 6 pagi dengan kadar tol asal yang dikenakan sebanyak 50 sen untuk kereta, RM1 untuk bas dan lori serta 20 sen untuk motosikal.

Seiring perkembangan infrastruktur lebuh raya yang lebih moden, kutipan tol di lebuh raya itu dihentikan pada tahun 1994 selepas siapnya Lebuhraya Utara-Selatan.

Iklan

Sejak itu, Malaysia menyaksikan pertumbuhan pesat lebuh raya bertol.

Pada tahun 1977, Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban menjadi lebuh raya pertama yang dikendalikan oleh syarikat konsesi tol, diikuti pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Iklan

PLUS kini merupakan lebuh raya terpanjang di Malaysia menghubungkan Johor Bahru di selatan hingga ke Bukit Kayu Hitam di utara.

Sistem kutipan tol di Malaysia telah melalui perubahan ketara daripada kaedah manual ke sistem tol elektronik.

Penggunaan kad Touch ‘n Go, SmartTAG dan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) diperkenalkan bagi mengurangkan kesesakan di plaza tol serta meningkatkan kelancaran perjalanan pengguna lebuh raya.

Di Malaysia, sistem tol sering menjadi topik hangat perbincangan. Di satu pihak, tol dianggap keperluan bagi menyelenggara dan membina lebuh raya baharu.

Namun, di pihak lain, kadar tol yang tinggi menimbulkan beban kewangan kepada pengguna jalan raya terutama mereka yang berulang-alik ke tempat kerja.

Bagaimanapun, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan beban rakyat termasuk memberikan diskaun tol semasa musim perayaan serta cadangan pemansuhan tol secara berperingkat.

Melihat kepada perkembangan terkini, Malaysia perlu terus menyesuaikan sistem kutipan tol agar lebih berkesan dan mesra pengguna.

Model sistem tol tanpa palang (Multi-Lane Free Flow-MLFF) yang sedang dirancang menjadi satu penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kecekapan perjalanan.Jika dibandingkan dengan negara lain seperti Singapura dan Jepun, sistem tol Malaysia masih berada dalam fasa pembangunan teknologi.

Singapura menggunakan sistem tol Electronic Road Pricing (ERP) yang berasaskan teknologi satelit dan tol dinamik di mana kadar tol berubah mengikut kesesakan lalu lintas.

Ini membantu mengawal jumlah kenderaan dan mengurangkan kesesakan secara berkesan.

Jepun pula mengamalkan sistem tol berasaskan jarak perjalanan dengan pembayaran elektronik sepenuhnya melalui sistem Electronic Toll Collection (ETC).

Selain itu, lebuh raya di Jepun dikendalikan oleh beberapa syarikat dengan kawalan ketat daripada kerajaan bagi memastikan kadar tol yang adil dan berpatutan.

Malaysia sebaliknya masih bergantung kepada sistem tol fizikal dengan lorong RFID yang masih dalam proses penambahbaikan.

Terdapat aduan pengguna mengenai masalah teknikal seperti gangguan pengimbasan dan kesesakan akibat lorong RFID yang tidak berfungsi dengan baik.

Justeru, peralihan kepada MLFF dijangka akan meningkatkan keberkesanan sistem tol di Malaysia, namun memerlukan pelaksanaan yang lebih sistematik dan infrastruktur sokongan yang mantap.

Seiring dengan kemajuan teknologi dan tuntutan ekonomi, pembaharuan berterusan dalam sistem tol negara adalah suatu keperluan yang tidak boleh dielakkan.

Bagaimanapun, masih terdapat cabaran yang perlu diatasi untuk mencapai sistem tol yang lebih efisien dan adil dalam memenuhi keperluan rakyat.

*Normawati Adnan ialah wartawan Sinar Harian Perak