KOTA BHARU - Polis sudah mengenal pasti dua suspek yang dipercayai telah memukul seorang lelaki dalam kejadian pergaduhan di Taman Cherang dekat sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pada Sabtu pihaknya telah mengesan satu video berdurasi 3 minit 28 saat yang memaparkan kejadian seorang individu telah dipukul oleh beberapa orang lelaki.
"Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada Jumaat sekitar jam 11.30 malam.
"Sehubungan dengan itu, kita telah mengenal pasti dua suspek yang telah memukul mangsa. Kedua-dua suspek merupakan lelaki berusia awal 40-an dan bawah 20 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Menurut beliau, kesemua suspek yang terlibat akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu bagi membantu siasatan.
Ujarnya, punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis.
Mohd Rosdi memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
"Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar
tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya.
Terdahulu tular satu video berdurasi 3 minit 28 saat yang memaparkan dua lelaki telah bertindak memukul seorang individu.