SHAH ALAM - Pembentangan Rang Undang Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 diyakini akan lulus dengan sokongan majoriti 222 ahli Parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU tersebut boleh dianggap 'game changer' dalam usaha Malaysia mengorak langkah ke hadapan sebagai negara yang disanjungi kerana menjalankan sistem demokrasi sebenar.
Menurut beliau, ia satu lagi komitmen utuh Kerajaan Madani dalam melaksanakan agenda reformasi undang-undang dan institusi buat kesejahteraan rakyat serta negara.
"Hari ini merupakan permulaan bagi peristiwa yang cukup bersejarah buat Parlimen Malaysia apabila saya membentangkan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
"Ia bagi memberikan perincian dan penerangan menyeluruh berkaitan RUU Perkhidmatan Parlimen ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 antara lain bertujuan menubuhkan perkhidmatan Parlimen yang menjadi suatu entiti berasingan daripada perkhidmatan awam.
Ia juga memperuntukkan penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen yang berfungsi melantik dan menentukan terma atau syarat pelantikan anggota, mengawasi perkara kewangan berhubung perkhidmatan Parlimen serta melaksanakan program mahupun latihan.
Selain RUU Perkhidmatan Parlimen 2025, Azalina turut membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 bagi meminda Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 56 dan Perkara 57 dengan memasukkan Fasal baharu (5A).
Fasal itu menyatakan seseorang yang dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat mahupun Timbalan Yang Dipertua tidak hilang kelayakan memegang jawatan itu disebabkan keahliannya dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen, malah ahli dipilih tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.
RUU itu juga bertujuan meminda Perkara 65 Perlembagaan Persekutuan untuk mengadakan peruntukan bagi pelantikan Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat oleh Yang di-Pertuan Agong memandangkan ia boleh dilantik dalam kalangan anggota atau bukan anggota perkhidmatan awam.