REMBAU - Kesusahan hidup memaksa tiga beranak tinggal di rumah yang serba daif di Kampung Ulu Chembong di sini sejak tiga tahun lalu.
Keadaan rumah yang menjadi tempat berteduh buat Norshima Sekil Abdullah, 36, dan Anis Elam, 35, serta seorang anak mereka bukan sahaja sudah reput dimakan anai-anai dan bocor pada kebanyakan bumbung, malah tidak mempunyai kemudahan tandas.
Sejak berpindah di situ, sungai dan tandas stesen minyak yang menjadi tempat mereka 'melepaskan hajat' selain ada ketikanya terpaksa menumpang tandas rumah jiran.
Menurut Norshima, dengan hanya bekerja sebagai tukang cuci dan suaminya yang merupakan orang kurang upaya pula menoreh getah, mana mungkin mereka mampu membaik pulih rumah pusaka berkenaan.
"Kami terpaksa tinggal di sini kerana tiada pilihan dan nak menyewa pun memang tak mampu dengan pendapatan saya RM1,500 sebulan dan suami pula RM400 saja.
"Keadaan rumah ini memang sangat daif. Saya risau akan keselamatan kami kerana kebanyakan dinding sudah reput dimakan anai-anai dan bumbung pula bocor sana-sini," katanya ditemui di rumahnya di sini selepas menerima kunjungan Parti Pribumi Bersatu(Bersatu) Rembau pada Isnin.
Paling menjadi keresahan Norshima setiap kali hujan kerana rumahnya akan dimasuki air manakala jika cuaca berangin pula bumbungnya mudah diterbangkan angin.
Keadaan itu menyebabkan hidupnya sentiasa dalam keadaan tidak tenang lebih-lebih lagi mengenang anaknya yang masih kecil.
"Nak baik pulih bumbung bocor ini perlukan kos yang tinggi sedangkan gaji saya dan suami hanya cukup makan saja.
"Rumah saya ini pun tiada tandas melainkan tempat mandi saja. Jadi kalau nak buang air, kami ke sungai atau tandas stesen minyak dan jika terdesak menumpang tandas jiran," katanya.
Selain itu katanya, dia ada membuat permohonan bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat(PPR) namun masih menunggu jawapan.
Sehubungan itu dia sangat berharap permohonannya mendapatkan bantuan rumah tersebut dapat diluluskan.
"Mujurlah kemudahan elektrik ada dan air pula kami gunakan air bukit," katanya.
Sementara itu Ketua Bersatu Rembau, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kehidupan daif tiga beranak berkenaan daripada penyelia tempat Norshima bekerja.
Jelasnya, melihat keadaan rumahnya yang bukan sahja ada banyak kerosakan dan tiada kemudahan tandas, mereka perlu segera dibantu.
"Jadi sebagai permulaan, kita bantu menyelesaikan bil elektriknya dalam tempoh setahun ini yang bertujuan meringankan beban ditanggung.
"Kita juga akan bantu baik pulih bumbung rumahnya yang bocor dan pada masa sama kita akan cuba dapatkan maklumat daripada pihak berkaitan berkenaan bentuk bantuan lain termasuk permohonannya mendapatkan rumah PPR," katanya.