JOHOR BAHRU - Tiada mana-mana taska di bawah kendalian GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) bagi menempatkan anak-anak pengikut pertubuhan itu yang masih beroperasi ketika ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, seramai 13 kanak-kanak masih berada dalam jagaan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menjalani aktiviti serta bersekolah seperti biasa.
"Tiada sebarang taska berkaitan GISBH yang masih beroperasi ketika ini. Sebaliknya hanya 13 anak-anak berusia bawah 18 tahun yang telah diselamatkan masih berada bawah jagaan kami.
"Mereka semua ditempatkan di rumah perlindungan JKM dan bersekolah seperti kanak-kanak biasa," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 Peringkat Zon Selatan, pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan seramai 13 daripada 560 kanak-kanak bekas anggota GISBH belum dituntut ibu bapa masing-masing.
Menurutnya, enam daripada mereka diperintahkan mahkamah untuk terus tinggal di institusi JKM mengikut Seksyen 30(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001, manakala tujuh orang lagi menerima perintah interim di institusi.
Dalam pada itu, Noraini dalam ucapannya berkata, sambutan di peringkat Zon Selatan tahun ini mengangkat tema 'Jiwa Kuat, Wanita Sihat' bagi menggambarkan cabaran yang dihadapi oleh wanita masa kini.
"Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, kira-kira 4.6 peratus atau sejuta penduduk Malaysia berumur 15 tahun ke atas mengalami kemurungan.
"NHMS 2022 turut melaporkan 26.9 peratus remaja memenuhi kriteria kemurungan, dengan kekerapan lebih tinggi dalam kalangan perempuan (36.1 peratus) berbanding lelaki (17.7 peratus).
"Hal ini menunjukkan bahawa wanita berisiko dua kali ganda lebih murung daripada lelaki," jelasnya.