MELAKA - Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengambil masa hampir lima jam untuk mengeluarkan dua mangsa rentung yang terperangkap dalam kebakaran di bilik transformer di sebuah kilang di Tangga Batu di sini pada Isnin.
Kejadian lebih kurang jam 10 pagi itu dipercayai berlaku apabila bilik transformer di kilang berkenaan terbakar menyebabkan lelaki tempatan berusia 28 tahun dan seorang pekerja warga Bangladesh maut manakala dua lagi pekerja asing mengalami melecur.
Penguasa Kanan Bomba ll, Mohd Khairul Nizam Mohamad Anuar berkata, pihaknya mengambil masa agak lama untuk membawa kedua-dua mangsa rentung keluar disebabkan risiko arus elektrik selain keadaan bilik transformer yang sempit sekali gus menyukarkan pergerakan anggota.
Menurutnya, gerakan operasi dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memastikan bekalan elektrik dihentikan sebelum kerja menyelamat dapat dilakukan.
Katanya, setelah hampir lima jam usaha menyelamat, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 3.55 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk tindakan lanjut.
"Dalam operasi itu, dua mangsa yang merupakan warga asing berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Besar Melaka menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Namun, dua lagi mangsa, seorang warga tempatan dan seorang lagi warga asing, ditemui meninggal dunia akibat kebakaran," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi di Tangga Batu di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Khairul Nizam berkata, pihaknya menggunakan peralatan khas untuk membuka ruang kerja sebelum kedua-dua mangsa dapat dikeluarkan.
Ujarnya, kesemua mangsa merupakan pekerja pihak kontraktor pelupusan yang dilantik untuk melakukan kerja-kerja pengumpulan sisa kilang sejak dua bulan lalu.
"Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan," katanya.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan dua pekerja rentung manakala dua lagi melecur dalam kebakaran yang berlaku di bilik transformer sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tangga Batu.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 pagi itu menyebabkan dua pekerja yang melecur masing-masing berusia 30-an manakala identiti keempat-empat mangsa masih belum dapat dikenal pasti.