Petugas kurang 5 peratus, kerajaan jamin khidmat Tabung Haji terus berkualiti

Iklan
Mohd Na'im Foto fail Bernama

ALOR GAJAH - Kerajaan memberi jaminan kualiti perkhidmatan Tabung Haji sempena musim haji kali ini tetap berkualiti walaupun jumlah petugas bagi rombongan haji tahun ini berkurangan lima peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, jumlah Petugas Rombongan Kebajikan dan Petugas Rombongan Perubatan berkurangan kepada 568 orang pada tahun ini berbanding 620 orang tahun lepas.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, langkah itu diambil Tabung Haji bagi mengimbangkan kesan terhadap kos pengurusan melibatkan petugas-petugas pada kali ini.

"Saya memberi jaminan walaupun jumlah itu dikurangkan tetapi insya-ALLAH ia tidak akan mengurangkan langsung cara petugas-petugas Tabung Haji ini menyantuni jemaah-jemaah haji bagi tahun 1446 Hijrah.

Iklan

"(Ia tentang) bagaimana Tabung Haji nak mengimbangkan satu jumlah yang munasabah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Pengukuhan Petugas Haji Tanah Suci Musim Haji 1446H/ 2025M di Kem Permata Resort di sini pada Isnin.

Hadir sama Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman.

Iklan

Sementara itu Mohd Na’im berkata, Tabung Haji komited untuk menjaga imej negara dalam pengurusan jemaah haji pada setiap tahun, sehingga kerajaan Arab Saudi menobatkan agensi itu sebagai penerima Anugerah Labbaittom sebanyak tiga tahun berturut-turut.

Beliau berkata, antara penilaian bagi mendapat anugerah tersebut termasuklah profesionalisme pengurusan jemaah oleh petugas Tabung Haji.

"Sebab itu saya tekankan di sini petugas-petugas haji yang dilatih oleh Tabung Haji ini sangat memainkan peranan penting untuk menjaga imej Tabung Haji dan negara,” katanya. - Bernama