LANGKAWI - Tiga warga emas antara 115 individu yang ditahan dalam Operasi Perdana yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sekitar Bukit Malut dan beberapa lokasi lain di Langkawi pada Ahad.
Timbalan Ketua Pengarah AADK, Khairul Anwar Bachok berkata, operasi kali ini memberi tumpuan khusus kepada Bukit Malut, yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi bagi aktiviti penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, Operasi ini adalah sebahagian daripada usaha mencapai sasaran 100 peratus orang yang disyaki (OYDS) yang ditahan menjalani rawatan dan pemulihan pada tahun ini.
"Kebanyakan yang ditahan merupakan penagih tegar dan berulang, termasuk individu berusia lebih 60 tahun yang masih bergantung kepada bahan terlarang itu.
"Kami mahu memastikan persekitaran yang lebih selamat, terutama menjelang Tahun Melawat Kedah 2025 dan penganjuran LIMA tidak lama lagi,” katanya pada Isnin.
Beliau berkata, operasi ini tidak terlepas daripada pelbagai cabaran, termasuk tindakan agresif beberapa OYDS yang cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa.
Jelasnya, ada antara mereka bertindak nekad dengan merempuh anggota serbuan menggunakan motosikal, namun tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.
"Masyarakat perlu memberi perhatian perkara itu supaya tindakan susulan dapat diambil sama ada terhadap penagih atau lokasi aktif sarang penagihan dadah berhampiran tempat tinggal mereka,” ujarnya.
Dalam operasi yang bermula jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam itu, seramai 115 individu berusia 19 hingga 61 tahun disyaki penagih dadah ditahan oleh 30 pegawai AADK yang dibantu anggota Pasukan Polis Marin Langkawi.
Semua individu ditahan termasuk tiga warga emas dan lima wanita ditahan mengikut Seksyen 3(1) (a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan lanjut.