ALOR SETAR - Pendakwah bebas, Ahmad Husam Muhamad Baderudin menerima permohonan maaf dua daripada empat individu yang disaman fitnah sebanyak RM5 juta secara terbuka di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.
Ku Muhammad Khairul Amzad Ku Ahmad, 26, dan Mohd Fairus Shaari@Mohd Fazil, 31, memohon maaf tanpa syarat kepada plaintif atas kenyataan fitnah yang dibuat sebelum ini.
"Saya dengan suci hati dan tanpa syarat memohon maaf kepada Ahmad Husam Muhamad Baderudin dan beraku janji untuk tidak mengulangi sebarang penglibatan, tindakan dan perbuatan dalam apa jua bentuk dan cara yang boleh mencemarkan reputasi, imej dan atau boleh menyebabkan rasa malu, kerosakan atau kesusahan kepada Ahmad Husam Muhamad Baderudin,” katanya.
Permohonan maaf itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim DrArik Sanusi Yeop Johari dengan kehadiran Ahmad Husam.
Peguam, Muhammad Asyraf Abd Aziz yang mewakili plaintif memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman secara baik dengan dua daripada empat defendan membuat permohonan maaf secara terbuka.
Bagaimanapun, kes saman terhadap dua lagi defendan, Muhammad Mukhlis Maghribi, 38, dan Zamil Ibrahim, 58, masih diteruskan.
Pada 14 Disember 2023, Ahmad Husam memfailkan saman terhadap pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri Keenam, Muhammad Mukhlis, bekas Presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA), Zamil, selain Ku Muhammad Khairul dan Mohd Fairus.
Mengikut writ yang dikemukakan, saman berkenaan difailkan melalui firma guaman Tetuan Zain Megat & Murad selepas notis tuntutan yang dikeluarkan pada 13 November 2023 tidak mendapat respon daripada individu berkaitan.
Muhammad Mukhlis didakwa menerbitkan hantaran di Instagram yang menggelar Ahmad Husam sebagai ‘scammer’ manakala Zamil
didakwa menerbitkan video di Facebook menuduh Ahmad Husam sebagai penipu serta menyalahgunakan wang derma dan zakat.
Menurut writ saman yang dikemukakan, kenyataan yang diterbitkan kedua-dua defendan adalah berniat jahat bagi menggambarkan plaintif sebagai penunggang agama yang tidak amanah.
Plaintif turut mendakwa tuduhan tersebut dibuat selepas beliau enggan membayar RM400,000 kepada Muhammad Mukhlis sebagai penyelesaian bagi satu siasatan polis terhadapnya.
Berikutan itu, Ahmad Husam menuntut ganti rugi am sebanyak RM5 juta, permohonan maaf daripada defendan, perintah supaya kenyataan fitnah dipadamkan, serta perintah larangan bagi menghalang defendan daripada mengulangi kenyataan fitnah berkenaan.
Ketika ditemui selepas prosiding, Ahmad Husam berkata, beliau menerima permohonan maaf dua defendan dengan hati terbuka dan menganggapnya sebagai pengajaran.
"Saya memaafkan mereka lebih-lebih lagi dengan kedatangan Ramadan yang bakal menjelang, namun saya akan meneruskan proses undang-undang terhadap dua lagi defendan.
"Kes ini akan dibicarakan pada Oktober depan dan saya akan mengemukakan lapan saksi bagi memperkukuhkan kes,” katanya.