Beban kerja bertambah dorong bersara awal

Iklan
Laporan Sinar Ahad.

KUALA TERENGGANU - Beban kerja yang tinggi selepas penetapan sistem kerja syif 45 jam seminggu antara faktor mendorong jururawat mempertimbangkan untuk bersara awal sebelum mencapai usia 60 tahun.

Seorang jururawat yang hanya mahu dikenali Siti, 49, berkata, arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang mewajibkan tambahan tiga jam bekerja seminggu untuk jururawat wad mulai 1 Disember tahun lalu memberikan bebanan buatnya.

Iklan
Iklan

"Saya terfikir untuk bersara awal sejak bebanan kerja semakin bertambah dan jadual sistem kerja yang menyebabkan saya tiada masa untuk diri sendiri dan keluarga.

"Waktu kerja yang tidak menentu lebih-lebih lagi apabila pelaksanaan sistem kerja syif 45 jam seminggu ini, ia beri tekanan kerana perlu bayar pengasuh lebih untuk jaga anak-anak pada sebelah malam.

Iklan

"Kalau dulu bayaran pengasuh boleh kata dalam RM300 untuk seorang anak, sekarang seorang anak sahaja mencecah RM500, bila tinggal lebih masa secara automatik perlu tambah duit lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Ahad sebelum ini melaporkan tekanan kerja berlebihan dan keletihan emosi melampau menjadi antara punca jururawat terutama yang berkhidmat di hospital kerajaan mengambil keputusan bersara awal berbanding meneruskan kerjaya sehingga usia 60 tahun.

Iklan

Pensyarah Kanan Program Kaunseling Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Rezki Perdani Sawai berkata, situasi tersebut bukan sahaja berlaku di negara ini, malah seluruh dunia.

Beliau berkata, berdasarkan kajian diterbitkan Journal of Advanced Nursing dan dalam konteks negara ini, trend jururawat bersara awal meningkat selepas pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, seorang lagi jururawat, Lina, 42, berkata, dia mula memikirkan untuk bersara awal kerana sukar untuk mengimbangi antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga.

"Sebagai ibu kepada tiga anak, sukar untuk saya membahagikan masa antara kerja dan keluarga. Tekanan di tempat kerja kadangkala terbawa-bawa ke rumah, dan ini memberi kesan kepada hubungan dengan anak-anak.

"Faktor gaji dirasakan tidak setimpal dengan beban kerja turut mempengaruhi keputusan saya,” luahnya.

Bagaimanapun, katanya, jika terdapat perubahan seperti waktu kerja yang lebih fleksibel, dia mungkin mempertimbangkan untuk kekal lebih lama dalam perkhidmatan itu.

"Ada beberapa rakan telah menghantar surat berhenti kerja setelah mendapat tawaran bekerja di Singapura di mana di sana jadual kerja bagi profesion ini lebih teratur dan tidak memberi tekanan,” kongsinya.

Katanya, dasar persaraan jururawat pada usia 60 tahun perlu dikaji semula dengan mengambil kira faktor fizikal dan mental dihadapi mereka.

"Banyak perkara yang perlu diubah dalam dasar ini terutama melibatkan cuti, dan kadar bayaran kepada mereka yang memilih untuk bersara awal berbanding bersara wajib,” katanya.