LUMUT - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan pekerjaan dalam talian atau 'job scam' yang beroperasi di sebuah inap desa di Pulau Pangkor di sini dalam satu serbuan, Jumaat lalu.
Serbuan sekitar jam 9.45 malam itu berjaya menahan 13 warga China terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 hingga 41 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, turut ditahan suami isteri warga tempatan berusia 61 dan 63 tahun yang berperanan sebagai penyewa rumah serta pembekal makanan kepada ahli sindiket.
"Hasil pemeriksaan mendapati, sindiket itu menggunakan rumah terbabit sebagai pusat panggilan dengan menawarkan pekerjaan secara dalam talian yang menyasarkan mangsa dari China.
"Modus operandi mereka adalah dengan meminta mangsa melengkapkan tugas pembelian barangan dalam talian untuk meningkatkan rating dengan janji akan mendapat keuntungan, namun keuntungan tersebut tidak diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut merampas 12 komputer riba, enam modem WiFi dan 88 telefon bimbit pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM80,000.
Beliau berkata, kesemua suspek telah direman selama empat hari sehingga 25 Februari ini bagi siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120 (B) kanun sama.
"Polis juga akan menyemak status pasport warga China yang ditahan dengan Jabatan Imigresen bagi memastikan tiada pelanggaran atau penyalahgunaan pas lawatan.
"Sekiranya dikesan terdapat kesalahan, tindakan akan diambil di bawah Akta Imigresen 1959," katanya.
Dalam pada itu, Noor Hisam turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian yang memerlukan bayaran pendahuluan untuk melengkapkan tugas.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penipuan seperti ini boleh menghubungi balai polis berdekatan atau CCID Infoline melalui WhatsApp di talian 0132111222.