KUALA LUMPUR - Sebanyak 32 laporan polis melibatkan kerugian lebih RM1.398 juta diterima berkaitan kes penipuan pelaburan saham didakwa didalangi seorang individu bergelar Datuk setakat ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua laporan terbabit diterima pihaknya daripada beberapa individu yang menjadi mangsa penipuan pelaburan sebuah syarikat sejak 19 Januari lalu.
"Sebanyak 15 kertas siasatan dibuka dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Siasatan lanjut masih dijalankan berhubung laporan yang dibuat kesemua mereka yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan berkenaan," katanya pada Ahad.
Katanya, siasatan awal mendapati syarikat ini ditubuhkan 24 Februari 2022 lalu.
"Semakan turut mendapati syarikat ini memiliki dua pengarah termasuk seorang individu bergelar Datuk.
"Individu ini dipercayai dilantik sebagai pengarah pada 10 Mei 2022 lalu," katanya.
Menurutnya, semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat itu mempunyai modal berbayar RM6.9 juta.
"Selain itu, syarikat ini turut mempunyai seramai 179 pemegang saham melibatkan 175 individu dan empat syarikat.
"Semakan mendapati 11 daripada 15 individu yang membuat laporan berdaftar sebagai pemegang saham," katanya.
Media sebelum ini melaporkan seramai 65 individu mendakwa menjadi penipuan individu bergelar Datuk berhubung pelaburan saham membabitkan kerugian kira-kira RM2.5 juta.
Kesemua individu terbabit tampil membuat aduan kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO)
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, individu serta syarikat berkenaan didakwa menawarkan program pelaburan saham biasa kepada pelabur awam tanpa sebarang prospektus.
Syarikat berpengaruh itu dipercayai menawarkan program pelaburan (pre-IPO) didakwa bersifat meragukan dan tidak melakukan sebarang aktiviti pelaburan seperti dimaklumkan kepada mangsa.