REMBAU - Walaupun piagam ASEAN mengatakan negara anggota tidak boleh mencampuri hal ehwal negara lain namun isu dalaman di Myanmar kini telah melangkaui sempadan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, masalah berlaku di Myanmar telah menjadi jenayah transnational yang menjadi masalah kepada negara-negara jiran khususnya di Malaysia.
"Isu pemerdagangan manusia, scammer, jenayah siber dan dadah telah melangkaui sempadan.
"Kita terpaksa menerima kedatangan pelarian Rohingya yang lari dari negaranya untuk berlindung di Malaysia, angkanya telah melebihi 200,000 orang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Penyampaian Sumbangan kepada seluruh Masjid dan Surau Parlimen Rembau, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di sini pada Ahad.
Justeru katanya, Kepengerusian ASEAN Malaysia bersetuju agar negara Myanmar dijadikan keutamaan dalam agenda.
"Kita bukan nak campur tangan dalam hal ehwal negara rakan tapi ia sudah jadi masalah kepada negara ASEAN
"Kita setuju Myanmar dijadikan keutamaan supaya kita dapat pastikan pihak yang bertelagah di Myanmar untuk 'restrain' atau 'stand down'.
"Kita mahu supaya penghantaran bantuan kemanusiaan di tempat memerlukan dapat sampai tanpa sebarang halangan daripada mana-mana pihak berkepentingan di sana," ujarnya.
Jelas beliau, Malaysia banyak menghantar bantuan ke negara konflik itu namun bantuan tersebut tidak sampai ke tempat sepatutnya.
"Pihak berkepentingan bertelagah itu hal mereka tapi yang menjadi mangsa adalah rakyat mereka, jadi kita tak mahu itu berlaku.
"Jika boleh kita nak keamanan di Myanmar dikembalikan semula, kemudian barulah mereka boleh runding dan duduk semeja untuk adakan pilihan raya, sama ada untuk tubuh kerajaan secara konfederasi atau persekutuan, itu terpulang mereka.
"Tapi kepentingan ASEAN adalah untuk melihat supaya krisis kemanusiaan di Myanmar dapat dihentikan," jelasnya.
Sementara itu, berhubung status pemerdagangan manusia di sempadan Myanmar-Thailand beliau berkata, Malaysia bekerjasama dengan kerajaan Thailand untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa.
"Alhamdulillah 15 orang telah pulang hari ini, semua selamat dan ada 22 orang lagi dalam proses untuk dibawa pulang.
"Kita berterima kasih kepada kerajaan Thailand dan China yang telah bekerjasama memastikan isu scammer dan pemerdagangan manusia ditangani dengan berkesan," katanya.
"Pada masa sama katanya, kerajaan juga turut memastikan rakyat yang terlibat, diproses (jalani prosedur siasatan) terlebih dahulu sebelum dibawa pulang ke negara," katanya.
Pada majlis itu, sejumlah RM490,500 diperuntukkan diagihkan kepada 42 masjid dan 139 surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong dan Kota sempena aktiviti mengimarahkan masjid bulan Ramadan.