KUALA SELANGOR - Lapan tahun berkhidmat di sebuah hospital, namun bebanan akibat kekurangan tenaga kerja menyebabkan seorang jururawat mengambil keputusan melepaskan jawatannya.
Siti Nor Arbaiah Jusoh, 37, berkata, keputusan sukar itu diambil disebabkan perlu menghadapi jadual kerja padat, jumlah pesakit semakin ramai dan kekurangan tenaga kerja.
"Kadang-kadang saya hanya ditemani tiga hingga empat jururawat secara bergilir-gilir. Dengan bilangan pesakit yang boleh mencapai sehingga 35 orang dalam satu wad dan keadaan ini memberi tekanan sangat besar,” katanya kepada Sinar Ahad.
Siti Nor Arbaiah yang memulakan tugas sebagai jururawat pada tahun 2013 dan menamatkan perkhidmatan 2021 berkata, akibat tekanan, ada masa dia seperti tidak mahu pergi ke tempat kerja.
"Saya rasa tertekan dan tidak sanggup lagi melalui keadaan sedemikian rupa. Saya berusaha untuk memohon berpindah ke unit lain, tapi masih sukar dan mungkin mengambil masa bertahun untuk mendapatkannya,” katanya.
Siti Nor Arbaiah berkata, dia kini lebih tenang selepas bersara dan gembira kerana kehidupannya serta keluarga lebih terurus.
Pada masa ini, dia membantu suaminya, Sharil Hussein, 43, menguruskan Pusat Jagaan Warga Tua Selangor Relief Agency (SRA) di Kuala Selangor yang beroperasi sejak Januari 2020.
"Ilmu kejururawatan yang saya pelajari kini dipraktikkan untuk pusat jagaan ini terutama membantu mereka yang memerlukan penjagaan khas,” jelasnya.