IPOH - Pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin dirasai rakan di dalam kerajaan Perpaduan Perak.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi mengakui masih terkejut dengan berita kematian wakil rakyat itu.
Menurutnya, walaupun berbeza parti, Allahyarham merupakan seorang yang sangat mesra dan mudah diajak berbincang.
"Secara peribadi, saya kehilangan seorang rakan dalam kerajaan. Kita tahu dia memang aktif main bola sepak, bila dapat berita memang tak sangka arwah pergi.
"Allahyarham seorang yang sangat prihatin terhadap kawasan diwakilinya. Dalam Sidang Dewan Negeri, banyak isu-isu kawasan dibangkitkan," kata ADUN Tualang Sekah itu kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Makan Malam Semarak Keadilan Kita Madani di Galasa Caldwell di sini pada Sabtu.
Mohd Azlan yang Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut merakamkan takziah buat keluarga Allahyarham.
Sementara itu, ADUN Manjoi, Mohd Hafez Sabri dalam hantaran di Facebook turut menyatakan rasa sedih atas pemergian Ishsam.
"Secara peribadi hubungan saya sangat baik dengan Almarhum selalu bertanya khabar dan bergurau bila bertemu.
"Sebelum ini ada bertemu beliau, kami mesyuarat sekali berkaitan isu rakyat," katanya yang juga Ketua Pemuda Pas Perak.
Terdahulu, Ishsam, 59, dilaporkan rebah tidak sedarkan diri selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang.
Dalam kejadian sekitar jam 5.20 petang, Allahyarham bersalaman dengan pemain lain di dari negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Beliau telah dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang pada jam 5.40 petang setelah bantuan kecemasan diberikan di tepi padang dan Allahyarham disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan, Hospital Pulau Pinang.