IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia pada Sabtu.
"Mendapat khabar duka akan pemergian sahabat saya, YB Tuan Haji Ishsam Shahruddin, ADUN Ayer Kuning lewat petang tadi.
"Kau ampunilah dosa-dosanya, kau kasihanilah dia dan terimalah segala amalan kebaikannya di dunia ini.
"Sama-sama kita doakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beramal soleh," katanya menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau.
Ishsam, 59, dilaporkan rebah tidak sedarkan diri selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang.
Dalam kejadian sekitar jam 5.20 petang, Allahyarham bersalaman dengan pemain lain di dari negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Beliau telah dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang pada jam 5.40 petang setelah bantuan kecemasan diberikan di tepi padang dan Allahyarham disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan, Hospital Pulau Pinang.
Allahyarham Ishsam dilahirkan pada 31 Ogos 1966 di Bidor berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan Ayer Kuning sejak 19 November 2022.
Sebelum menceburi dunia politik, Ishsam bermain hampir keseluruhan kariernya bersama pasukan Perak FA dan kebangsaan pada tahun 80-an dan 90-an.
Allahyarham adalah antara pemain bola sepak yang seangkatan dengan pemain negara, Azizul Abu Haniffah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff, Roafandi Yusoff, Zaidi Napiah, Chan Kok Heng, A Elangovan dan Mohd Nazrin Chong.
Ishsam dianggap sebagai 'budak mata biru' oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) ketika itu, Allahyarham Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.
Selepas meninggalkan legasi dalam kerjaya bola sepaknya, Isham mengikut jejak Raja Ahmad yang bergiat aktif dalam politik dan memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Tapah dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tapah.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Rozlita Abdullah dan empat orang anak.