SHA ALAM - Pelaksanaan paparan harga ubat di klinik pengamal perubatan am swasta (GP) tidak relevan dan boleh mengelirukan pesakit.
Presiden Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Shanmuganathan TV Ganeson berkata, tuntutan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) yang mahu mewajibkan tindakan tersebut tidak mengambil kira realiti pengoperasian klinik GP.
"Di klinik GP, individu sama biasanya bertanggungjawab terhadap kedua-dua fungsi perubatan dan farmasi, berbeza dengan farmasi runcit yang mempunyai struktur perniagaan berasingan.
"Sekiranya MPS ingin mempromosikan ketelusan dalam sistem penjagaan kesihatan, persatuan itu sepatutnya beri tumpuan kepada isu kewangan termasuk yuran rundingan GP yang 'stagnan' selama lebih 30 tahun dan bukannya memberi tumpuan hanya pada harga ubat," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu beliau turut mendakwa, MPS tidak menyentuh isu sebenar menerusi desakan itu, sekali gus menimbulkan keraguan dalam kalangan pemain infuatri.
Malah menurutnya, perkara tersebut tidak mengambil kira struktur kewangan lemah yang menjadi masalah utama dalam kelangsungan operasi klinik GP.
"Pengamal perubatan dan sektor farmaseutikal dalam satu bengkel yang pernah diadakan sebelum ini telah bersetuju sekiranya GP memberikan preskripsi kepada pesakit dan memberi kebebasan untuk mereka membeli ubat di farmasi pilihan.
"Kaedah ini merupakan amalan yang diterima sekian lama dan dianggap mampu memperkukuhkan hak pesakit dalam penjagaan kesihatan," ujarnya.