JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri tidak akan menerima sebarang pelaburan dan aktiviti import daripada syarikat luar negara untuk diproses di kilang sisa elektrik dan elektronik (e-waste) ke negeri berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, lesen yang diberikan kepada syarikat di Johor hanya untuk aktiviti pelupusan e-waste domestik.
"Untuk pelaburan e-waste sudah ada satu polisi di peringkat kerajaan Persekutuan, kita juga akur kepada polisi tersebut yang tidak membenarkan aktiviti import barang berkenaan di negara ini.
"Jika ada, maka tindakan tegas akan diambil termasuk sita, saman dan pendakwaan di mahkamah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas sesi walkabout ke Program Jualan Rahmah (PJR) Madani Salam Ramadan 2025, di Tapak Pasar Khamis Sungai Tiram di sini, pada Sabtu.
Program berkenaan akan berlangsung bermula 22 Februari hingga 7 Mac depan dari jam 9 pagi hingga 6 petang di lapan lokasi terpilih.
Mengulas lanjut, Ting Han berkata, Johor sudah tidak mengeluarkan lesen operasi bagi kilang e-waste sejak 2022 tetapi bagi syarikat yang sudah mendapat kelulusan sejak dulu boleh terus beroperasi seperti biasa.
Tambah beliau, buat masa ini pihaknya masih belum menerima aduan mengenai operasi haram e-waste tetapi jika ada, kerajaan negeri akan mengambil tindakan serius.
Ditanya mengenai kawalan harga di bazar ketika bulan Ramadan, beliau berkata, orang ramai perlu membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekiranya terdapat isu kenaikan harga yang mendadak dan sebagainya.
Menurutnya, pengguna boleh mengemukakan aduan dan maklumat kepada KPDN di negeri atau daerah masing-masing menerusi platform disediakan.
"Salurkan aduan anda di aplikasi WhatsApp 019-8488000 atau portal e-Aduan iaitu e-aduan@kpdn.gov.my dan di talian 1 800 886 800 dan aplikasi Ez ADU KPDN," jelasnya.