SEPANG – Seorang penjual jagung yang mencetuskan kontroversi selepas memaparkan papan tanda menghina kaum India didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
Lelaki berusia 64 tahun itu dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan berkenaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta pertuduhan pilihan bawah Seksyen 268 kanun yang sama.
Menerusi kenyataan media, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden G K Shan Gopal berkata, kes tersebut tular selepas pihaknya menerima rakaman video yang menunjukkan seorang peniaga jagung di Kota Warisan meletakkan notis menghina kaum India pada 16 Februari lalu.
"Susulan laporan tersebut, seorang lelaki yang merupakan penjual jagung bersama isterinya yang berusia 52 tahun, seorang warganegara Indonesia, ditahan di Jalan Labohan Dagang-Nilai, di sini pada Isnin lalu.
"Isterinya dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dihukum penjara selama tiga bulan," katanya.
Dalam pada itu, Shan Gopal menasihati orang ramai agar menjaga hubungan antara kaum dan mengelakkan sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama serta perkauman.
Katanya, kenyataan seumpama itu boleh membangkitkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.