SHAH ALAM - Siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kecewa dengan keputusan Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana menganggap hukuman yang dikenakan ke atas pegawai memerintah, pegawai dan anggota kapal adalah bersifat terlampau ringan jika dibandingkan dengan salah laku mereka.
Ia berhubung siasatan terhadap APMM susulan penularan sebuah video yang memaparkan sebuah kapal APMM bertambat dengan bot nelayan Zon C yang dikendalikan oleh awak-awak Vietnam di perairan Negeri Kelantan pada 7 Julai 2023.
EAIC dalam satu kenyataan berkata, ini kerana kesalahan yang dilakukan itu tidak mencerminkan integriti semasa melaksanakan tugas.
"Pada 15 Januari 2025, EAIC telah menerima maklum balas daripada APMM mengenai tindakan yang telah diambil terhadap syor EAIC.
"Bagaimanapun, PBT APMM tidak mengikut syor hukuman oleh EAIC sebaliknya telah memutuskan bahawa pegawai memerintah kapal APMM dikenakan hukuman denda (jumlah tujuh hari emolumen).
"Manakala pegawai dan anggota lain didapati tidak bersalah kerana bertindak mengikut arahan pegawai memerintah sahaja," katanya pada Jumaat.
EAIC sebelum ini melakukan siasatan berdasarkan aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
Tambah kenyataan itu, atas salah laku tersebut, EAIC telah mengesyorkan beberapa hukuman perlu diambil antaranya di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993] kepada PBT APMM bagi tujuan tindakan disiplin terhadap Pegawai Memerintah termasuk turun pangkat atau buang kerja.
"Kami juga mencadangkan agar mengenakan hukuman di bawah Peraturan 36 P.U. (A) 395/1993 terhadap pegawai dan anggota kapal APMM bagi tindakan disiplin selain daripada turun pangkat atau buang kerja.
"Selain itu, pegawai siasatan EAIC telah membuat laporan polis berhubung pengeluaran borang penggeledahan yang mengandungi butiran palsu dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka satu kertas siasatan bagi meneliti aspek jenayah komersial," ujarnya.