KEPALA BATAS - Keluarga Allayarham Mohamad Fahmi Hafiz, 10, yang maut akibat tercekik gula-gula kenyal tidak berhasrat untuk memanjangkan kes berkenaan atau menyalahkan sesiapa berikutan kejadian yang berlaku.
Sebaliknya bapa Allahyarham, Mohammad Fakhruddin Mohamad Fikri menganggap kejadian yang menimpa anak sulungnya itu sebagai takdir ALLAH dan mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi.
Beliau berkata, pihak keluarga juga tidak berhasrat untuk membuat seberang laporan polis untuk tindakan susulan namun perlu akur dengan arahan pihak sekolah.
"Kami reda dan anggap ini semua ketentuan ALLAH... Kami memang tak berhasrat untuk memanjangkan kes ini, ikutkan kami tak mahu buat laporan polis.
"Tapi disebabkan kejadian ini berlaku dalam kawasan sekolah, kita kena ikut arahan (untuk buat laporan polis)," katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Permatang Binjai dekat Penaga, di sini pada Jumaat.
Mohammad Fakhruddin berkata, sebelum ini anak lelakinya itu tidak pernah membeli atau makan gula-gula getah kenyal berkenaan.
Namun katanya, apa yang berlaku hanyalah asbab kematian anaknya yang sudah menjadi suratan takdir.
"Dia tak pernahlah beli gula-gula tu.. Mungkin dia tak tahu atau kadang-kadang dia ikut kawan-kawan beli.
"Saya tak salahkan makanan macam tu, sebab makanan apa-apa pun mungkin boleh jadi (tercekik)... Kita anggap ni dugaanlah dan saya tak mahu salahkan sesiapa,"katanya lagi.
Beliau berharap apa yang menimpa anaknya akan menjadi pengajaran buat semua dan tidak berlaku lagi kepada anak-anak yang lain.
Terdahulu hujan renyai mengiringi pengebumian jenazah Allahyarham Mohamad Fahmi Hafiz di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Permatang Binjai dekat Penaga, di sini.
Jenazah Mohamad Fahmi tiba dari Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang kira-kira jam 2 petang kemudian dibawa pulang ke rumah neneknya di Permatang Binjai di sini sebelum dibawa ke masjid selepas solat Jumaat.
Kira-kira 150 jemaah membabitkan ahli keluarga, saudara mara dan rakan sekolah Allahyarham hadir mengiringi jenazah dari rumah neneknya hingga ke masjid.