KOTA KINABALU - Saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Sarawak membekalkan tenaga elektrik ke Selatan Filipina dilihat sebagai langkah positif untuk mempercepatkan penyambungan grid antara Sabah dan Sarawak.
Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, selain memberi manfaat kepada negara jiran menerusi penjualan elektrik tersebut, ia juga turut berperanan meningkatkan kapasiti bekalan elektrik di Sabah.
"Dalam konteks ini, kami di Sabah Electricity sudah pun siap membina grid Sabah untuk disambung ke Sarawak dan sekarang ini kami menunggu mereka menyiapkan pembinaan grid untuk disambungkan ke grid Sabah.
"Perjanjian jual beli elektrik antara Sabah dan Sarawak sudah pun ditandatangani sekian lama meliputi pembelian tenaga elektrik bermula dengan 30 megawatt (MW) dan kemudian dinaikkan kepada 50MW dalam tempoh lima tahun," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Perdana Menteri susulan saranannya kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg supaya menjual elektrik kepada Filipina.
Bagaimanapun, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, Sabah Electricity berhasrat untuk meningkatkan lagi kapasiti itu sehingga 100MW.
"Ia seiring dengan keupayaan Sarawak membekalkan bekalan tenaga. Namun urusan jual beli ini memerlukan penyambungan grid antara kedua wilayah terlebih dahulu.
"Sebab itu kerjasama yang baik antara Sabah dan Sarawak akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kapasiti dan kestabilan bekalan elektrik di wilayah ini," katanya.
Madius berkata, pada masa sama, beliau melihat pengeksportan tenaga dari Sarawak ke Filipina akan lebih berkesan sekiranya pembinaan Projek Southern Link disiapkan dengan segera.
"Projek ini melibatkan pembinaan talian penghantaran sepanjang 330 kilometer bermula dari Sipitang ke Tenom dan seterusnya ke Kalabakan dan Tawau sebagai tambahan kepada talian penghantaran sedia ada.
"Ini adalah langkah strategik yang akan membantu meningkatkan kestabilan bekalan elektrik Sabah, sekali gus memperkukuh jaringan tenaga di rantau ini.
"Sebagai Wilayah berjiran, hubungan Sabah dan Sarawak sememangnya boleh diibaratkan umpama adik-beradik.
"Kita sentiasa mengekalkan hubungan kerjasama yang baik dalam pelbagai sektor, termasuk tenaga," katanya.
Sehubungan itu, Madius berkata, menerusi inisiatif terbaharu itu, kerjasama antara kedua-dua wilayah ini diyakini akan terus berkembang dan memberi manfaat kepada semua pihak.
"Sekali lagi, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas visi dan dukungan beliau dalam usaha ini.
"Terima kasih juga kepada Premier Sarawak atas inisiatif ini dan dengan kerjasama bersepadu ini, sudah tentu kita dapat membina masa depan yang lebih sejahtera untuk semua," ujarnya.