But kereta, kondominium jadi 'stor' dadah

Iklan
Kumar menunjukkan kereta yang diubah suai untuk bekalan dadah disimpan.

JOHOR BAHRU – Tiga individu termasuk seorang wanita diberkas dalam serbuan di empat lokasi sekitar bandar raya ini pada minggu lalu, sekali gus membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah dengan rampasan bernilai lebih RM3.19 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) itu dijalankan di kawasan parkir, dua unit kondominium dan sebuah rumah teres.

Iklan
Iklan

"Serbuan pertama dilakukan di parkir sebuah kondominium di Bandar Dato' Onn, membawa kepada penahanan dua individu bersama sebuah kereta Hyundai yang telah diubah suai sebagai tempat simpanan dadah.

"But kenderaan itu diubah dengan meletakkan radio dan pembesar suara bagi mengaburi pihak berkuasa, namun pemeriksaan menemui 4.12kg dadah di dalamnya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, pada Jumaat.

Iklan
Kumar (dua dari kanan) menujukkan rampasan pelbagai jenis dadah selepas tiga individu termasuk seorang wanita diberkas dalam serbuan di empat lokasi sekitar Johor Bahru pada minggu lalu.

Menurutnya, serbuan susulan di unit kediaman kondominium yang sama membawa kepada rampasan lebih banyak dadah sebelum sebuah lagi kondominium dipercayai dijadikan stor penyimpanan turut diserbu.

"Sebuah rumah teres di Taman Setia Indah turut diperiksa, membawa kepada penahanan seorang lelaki bersama sejumlah dadah.

Iklan

"Sindiket ini dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan modus operandi menjadikan premis berpagar dan ada pengawal sebagai lokasi penyimpanan serta pembungkusan dadah sebelum ia diedarkan ke pasaran tempatan," katanya.

Dalam operasi itu, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk ketamin (28.49kg), syabu (10.36kg), ganja (4.97kg), serbuk ekstasi (2.59kg), pil erimin 5 (15,750 biji), pil ekstasi (7,281 biji) dan serbuk MDMA (780g).

Turut disita wang tunai berjumlah RM46,540 serta pelbagai jenis barang kemas.

Menurut Kumar, ketiga-tiga suspek berusia 33 hingga 46 tahun kini direman sehingga 27 Februari bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Hasil ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau. Seorang daripada mereka turut dikehendaki polis bagi kes jenayah di Kluang.

"Kita percaya dalang utama sindiket ini telah ditahan, namun usaha mengesan saki-baki ahli kumpulan masih diteruskan," katanya.