GEORGE TOWN - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak boleh terus berdiam diri dan perlu mengambil tindakan segera bagi menangani isu keselamatan makanan ringan yang dijual kepada kanak-kanak.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, pihaknya kesal dengan kes kematian seorang murid Tahun 4 selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata yang dibeli di luar kawasan sekolahnya.
"Kita bercakap tentang kesihatan kanak-kanak. Mereka tidak tahu tentang kualiti, kandungan serta kesan makanan yang diambil. Tarikan utama hanya warna dan rasa manis gula-gula tersebut.
"Sehubungan itu, CAP mendesak agar undang-undang lebih ketat dikuatkuasakan terhadap makanan yang dijual kepada kanak-kanak terutamanya makanan ringan yang dijual kepada kanak-kanak perlu mempunyai logo kelulusan daripada KKM," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, CAP turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap peniaga yang menjual makanan ringan di luar kawasan sekolah serta memastikan ibu bapa menyediakan makanan sihat untuk anak-anak mereka yang bersekolah.
"Sudah tiba masanya KKM mengambil langkah tegas dengan menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap semua makanan ringan yang dijual di pasaran. Jangan biarkan kejadian seumpama ini berulang,” ujarnya.
Subbarow berkata, orang ramai khususnya ibu bapa dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam memilih makanan untuk anak-anak mereka bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam nyawa tidak berlaku lagi.
Pada Selasa lalu, murid Tahun 4, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin berada dalam keadaan kritikal di HPP selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata.
Mangsa yang berusia 10 tahun sebelum itu dilaporkan tidak sedarkan diri ketika mengikuti Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth.
Mangsa bagaimanapun meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) pada jam kira-kira 11 malam Khamis.