Ayat pertama yang terkeluar dari mulut kawan Merak Jalanan minggu ini,"Pening aku datang balik sebab hadap soalan-soalan mak bapa budak darjah satu!”
Kawan Merak Jalanan ini seorang guru sekolah rendah yang bertanggungjawab menguruskan kelas murid Tahun Satu.
Seperti biasa, respons Merak Jalanan kepadanya, hadap sahajalah sebab perkara itu tidak akan berakhir. Pasti berulang setiap kali sesi persekolahan bermula. Marah bukan kepalang dia mendengar ‘ayat motivasi’ itu.
Merak Jalanan tidak nafikan setiap kali bermulanya sesi persekolahan, guru-guru sekolah sering berhadapan pelbagai cabaran. Antaranya, perangai sesetengah ibu bapa yang semakin sukar difahami.
Pada minggu pertama persekolahan, ibu bapa biasanya lebih teruja dan cemas tentang keadaan anak mereka, tapi ada juga yang membawa perangai yang membuatkan guru berasa tertekan.
Antara masalah yang sering dihadapi guru-guru adalah ibu bapa yang terlalu campur tangan dalam urusan sekolah, walaupun perkara tersebut tidak seharusnya menjadi masalah besar.
Ada ibu bapa yang menghubungi guru dengan pelbagai soalan remeh seperti meminta mengubah tempat duduk anak atau bertanya mengapa anak mereka tidak diberikan perhatian lebih dalam kelas.
Ada sesetengah sekolah melarang ibu bapa kepada murid Tahun Satu masuk ke sekolah, tetapi arahan itu ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Sampai guru besar terpaksa ‘halau’ mereka yang tidak faham bahasa ini.
Perkara-perkara sebegini bukan sahaja menyusahkan, tetapi juga mengganggu fokus guru dalam menjalankan tugas utama iaitu mengajar. Akhirnya, daripada tugas sebagai mendidik murid-murid, guru-guru terpaksa pula menguruskan perangai ibu bapa yang mencabar ini.
Walau apa pun, Merak Jalanan kagum dengan mereka yang bergelar cikgu ini.
Walaupun terpaksa menghadap bermacam-macam kerenah, tetap bersabar dan terus memberikan yang terbaik untuk anak-anak kita.