Bersihkan Malaysia daripada e-waste haram

Iklan
Polis menyerbu sebuah kilang disyaki memproses sisa e-waste secara haram pada operasi bersepadu di sebuah kilang logam di kawasan Kampung Teluk Mengkuang, Klang baru-baru ini.

Isu kilang sisa elektrik dan elektronik (e-waste) haram semakin mendapat perhatian apabila satu demi satu operasi dilakukan pihak berkuasa bagi membanteras kegiatan tersebut.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi agensinya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama-sama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus menggempur bagi melumpuhkan kegiatan di premis haram berkenaan.

Iklan
Iklan

Umum mengetahui e-waste berpotensi mencemarkan alam sekitar dan menjejaskan kesihatan penduduk jika tidak diuruskan secara lestari. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia menjadi antara destinasi utama lambakan e-waste global khususnya dari negara maju seperti China, Amerika Syarikat, Jepun, Jerman dan United Kingdom.

Premis e-waste yang beroperasi tanpa permit sah memproses bahan buangan ini dengan kaedah tidak terkawal sehingga mengakibatkan pencemaran udara, tanah dan air.

Iklan

Meskipun beberapa operasi penggempuran yang dijalankan sebelum ini menunjukkan kesan ketara terhadap pengurangan kegiatan itu, namun cabaran masih wujud apabila pemilik premis seolah-olah tidak apabila digempur pihak berkuasa.

Antara barangan e-waste yang ditemui dalam serbuan premis baru-baru ini.

Iklan

Antaranya disebabkan modus operandi sindiket yang berpindah-randah ke lokasi baharu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Bagi memastikan keberkesanan jangka panjang, kerajaan perlu memperketat penguatkuasaan undang-undang bahan buangan terjadual ini selain bekerjasama dengan negara jiran untuk menyekat kemasukan e-waste secara haram ke Malaysia.

Di samping itu, pendidikan dan kesedaran masyarakat mengenai pengurusan e-waste yang bertanggungjawab perlu diperkemaskan serta dididik bermula peringkat sekolah.

Penggunaan teknologi hijau dan inisiatif kitar semula yang lebih berstruktur juga membantu mengurangkan kebergantungan terhadap kilang pemprosesan haram.

Beberapa pakar alam sekitar berpandangan, penguatkuasaan tegas itu amat berkesan dalam mengurangkan pencemaran, misalnya logam berat seperti plumbum, merkuri dan kadmium dalam e-waste boleh meresap ke dalam tanah serta mencemarkan sumber air.

Menurut Konvensyen Basel, pergerakan rentas sempadan bahan buangan terjadual perlu mempunyai kelulusan terlebih dahulu sebelum sebarang aktiviti transit, penghantaran import dan eksport dapat dijalankan.

Justeru, dapat disimpulkan bahawa operasi penggempuran ini memberikan dampak dalam melindungi ekosistem dan kesihatan awam di negara ini.

Selain aspek alam sekitar, operasi berkenaan turut memberi kesan kepada ekonomi. Penutupan kilang haram mampu meningkatkan permintaan terhadap pengurusan e-waste secara sah, sekali gus membuka peluang buat syarikat kitar semula berdaftar. Walaupun operasi serbuan berjaya mengekang kegiatan haram ini, namun sindiket yang terlibat pasti mencari jalan lain untuk meneruskan kegiatan mereka memandangkan hasilnya yang lumayan.

Pujian wajar diberikan kepada pihak berkuasa yang berterusan melakukan penguatkuasaan menerusi Op Hazard yang dijalankan secara besar-besaran seluruh negara sejak 15 Februari lalu, membabitkan sitaan sebanyak RM2.86 bilion.

Tuntasnya, operasi penggempuran kilang e-waste haram seluruh negara membuktikan komitmen padu NRES dan agensi berkaitan dalam mengawal pencemaran di samping mengekang kegiatan sedemikian daripada berleluasa.

Sekiranya penguatkuasaan terus diperkukuhkan, Malaysia mungkin boleh menjadi contoh kepada negara luar berhubung ketegasan melindungi alam sekitar dengan memastikan pengurusan e-waste dilakukan secara lestari.

Aisyah Basaruddin ialah wartawan meja Nasional Sinar Harian