Petaling Street kena serbu

Iklan
KPDN menjalankan pemeriksaan ke atas salah sebuah gerai disyaki menjual barang tiruan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Sebuah premis tiga tingkat yang berkunci di Jalan Petaling, di sini, rupanya beroperasi sebagai stor menyimpan pelbagai barang tiruan.

Aktiviti haram itu bagaimanapun berjaya digempur sepasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) daripada tujuh negeri iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur, Melaka, Selangor, Perak, Perlis dan Labuan dengan kerjasama Polis Kuala Lumpur hasil risikan selama lebih dua minggu.

Iklan
Iklan

Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati premis yang dibahagi beberapa bahagian di setiap tingkat itu menempatkan pelbagai jenis barang seperti dompet, beg tangan wanita, tali pinggang serta kasut tiruan dengan menggunakan jenama terkenal dan diedar kawasan sekitar.

Laluan di setiap tingkat juga sempit apabila ditambah dengan pembahagi besi bagi memisahkan rak simpanan barangan serta laluan selain stor terbabit dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Iklan

Timbalan Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, Op Putra 5.0 dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bermula jam 3.30 petang, Khamis, bertindak menyerbu 15 gerai serta lima stor.

Antara jam disyaki tiruan yang dirampas KPDN dalam serbuan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur pada Khamis.

"Operasi hari ini bertindak merampas kira-kira 5,500 barangan disyaki tiruan dianggarkan bernilai RM360,000 untuk tindakan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

Iklan

"Rampasan membabitkan pelbagai barang antaranya kasut, topi, beg, jam tangan dan tali pinggang," katanya kepada pemberita selepas operasi di sini pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati barangan ini dijual serendah RM50 hingga RM400 bergantung kepada kualiti dan jenis.

Tambahnya, terdapat premis yang dikesan pernah diserbu sebelum ini dan tindakan juga akan diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

"Kita percaya kegiatan ini bersindiket dan stor terbabit akan membekal kepada gerai-gerai kecil di sekitar sini (Jalan Petaling).

"Kalau kita lihat kawasan sini didominasi warga asing namun kita percaya ada penglibatan warga tempatan," ujarnya.