PORT DICKSON - Peniaga diingatkan tidak mengambil kesempatan di atas kekurangan bekalan dengan menaikkan harga santan dan kelapa di Negeri Sembilan.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya menerima maklumat ada peniaga meletakkan harga santan sehingga RM18 sekilogram (kg), sedangkan bahan mentah itu sepatutnya dijual pada harga RM12 hingga RM14.
"Kelapa pula sepatutnya dijual RM3.15 ke RM3.30 sekilogram. Kalau dijual lebih daripada itu bermakna ia mengambil kesempatan.
"Pada pandangan saya, harga ini perlu dikekalkan supaya masyarakat di Negeri Sembilan dapat menyambut Ramadan dan musim perayaan dalam keadaan bekalan mencukupi," katanya ketika diminta mengulas isu kekurangan kelapa pada Khamis.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Teknikal Sayur-Sayuran dan Jom Bertani 2025 di sini.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan peniaga menjangkakan harga santan meningkat menjelang Ramadan berikutan harga kelapa yang tidak menentu di pasaran ketika ini.
Tinjauan Sinar Harian di Pasar Besar Seremban mendapati harga bagi 1 kg santan ialah RM12, manakala pati santan pula antara RM13 ke RM15.
Katanya, isu bekalan kelapa dihadapi sejak Januari lalu disebabkan musim melawas menjejaskan kekurangan hasil pengeluaran kelapa.
"Disebabkan itu harganya naik sedikit dan berlaku kekurangan bekalan namun kerajaan telah mengambil langkah intervensi mengimport bekalan kelapa daripada Indonesia sebanyak 68 tan metrik untuk kegunaan negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
"Daripada jumlah itu sebanyak 34 tan metrik digunakan untuk menampung kekurangan di Negeri Sembilan supaya harga kelapa tidak melonjak naik dalam tempoh kekurangan pengeluaran ini," katanya.
Justeru beliau berharap semua pihak dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri menangani tempoh kekurangan bekalan itu yang bersifat sementara dan dijangka kembali stabil pada tempoh tertentu.