Tiada lagi larangan Zakir Naik berceramah - Saifuddin

Iklan
Saifuddin memberi penerangan berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat pada Rabu. FOTO: BERNAMA. Gambar kecil: Dr Zakir Naik

KUALA LUMPUR - Tiada lagi larangan atau sekatan berceramah di Malaysia dikenakan terhadap pendakwah, Dr Zakir Naik, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya, perintah itu pernah dilaksanakan pada 2019 selepas polis membuka kertas siasatan terhadap kenyataan didakwa menggugat keamanan negara dan dua ceramah berasingan.

Iklan
Iklan

"Saya semak balik sekarang, tak ada lagi larangan itu sebab waktu itu, 2019 merujuk hanya tempoh siasatan terhadap dua kenyataan dikeluarkan dalam ucapan. Kalau tak salah saya di Kota Bharu dan Perlis,” katanya ketika ketika menggulung Usul Menjunjung Titah Diraja Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) berhubung larangan terhadap Zakir.

Iklan

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Jelutong itu membangkitkan persoalan mengenai kemunculan pendakwah dari India yang sebelum ini dilarang daripada berceramah.

Difahamkan Zakir menghadiri dan berucap dalam sebuah konvensyen di Perlis yang berlangsung pada Januari lalu.

Iklan

Untuk rekod, pada 2019, Zakir disiasat polis di bawah Seksyen 504 kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keamanan.

Kertas siasatan dibuka berdasarkan satu laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Gombak.

Zakir mendakwa, kenyataan dibuat olehnya terhadap kaum Cina di Malaysia sebagai respon balas atas gesaan pengkritiknya supaya beliau keluar dari negara ini.

Kenyataan itu dibuat dalam syarahan di Kelantan di mana beliau turut mengeluarkan kenyataan berkaitan penganut Hindu kononnya lebih percaya dengan Perdana Menteri India berbanding Malaysia.

Zakir membuat kenyataan mengenai kaum Cina di Malaysia itu apabila bercerita tentang bagaimana agama Islam tersebar dengan aman di sekitar daerahnya melalui pedagang.

Bagaimanapun beliau mendakwa ucapannya berhubung penganut Hindu di negara ini diambil di luar konteks.