KEMAMAN - Sebutir bom tangan ditemui oleh orang awam di Pantai Tampin, Kemasek di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, susulan itu pihaknya telah memusnahkan bom tangan tersebut pada pada jam 11.12 pagi tadi tanpa sebarang kerosakan harta benda awam dan nyawa.
"Kita menerima panggilan daripada orang awam berkaitan penemuan penemuan objek yang menyerupai bom tangan di tepi pantai Tampin, Kemasek kira-kira jam 12.31 tengah malam tadi.
"Sejurus maklumat diterima, pihak polis telah digerakkan ke lokasi dan membuat kawalan keselamatan selain kawasan tersebut telah ditutup sepenuhnya kepada awam," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohd Razi berkata, pasukan unit pemusnah bom dari Ibu Pejabat Polis Daerah Lemaman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan awal berkaitan objek tersebut.
Menurutnya, siasatan mendapati objek tersebut merupakan bom tangan jenis HE HG Frag 85 yang masih aktif.
"Tindakan pemusnahan berjaya dijalankan pada jam11.32 pagi tadi (Khamis) tanpa kerosakan harta benda mahupun kehilangan nyawa," ujarnya.
Justeru, Mohd Razi menasihatkan orang ramai supaya membuat laporan segera kepada pihak polis sekiranya menemui objek menyerupai bahan letupan untuk tindakan selanjutnya.
"Jangan cuba usik, mengalihkan atau menyimpan sebarang objek menyerupai bahan letupan jika ditemui kerana ia menjadi kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," jelasnya.