Wanita maut, motosikal dinaiki bergesel dengan treler

Iklan
Motosikal dan treler yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 71, Jalan Kota Bharu-Gua Musang pada Sabtu.

KUALA KRAI - Seorang isteri maut selepas motosikal dinaiki bersama suaminya dipercayai bergesel dengan tayar belakang sebuah treler sebelum terjatuh dan diseret di Kilometer 71, Jalan Kota Bharu-Gua Musang di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 tengah hari itu, mangsa yang berusia 55 tahun merupakan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, suami mangsa berusia 56 tahun yang menunggang motosikal berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurut beliau, kemalangan itu turut melibatkan sebuah treler jenis Volvo dipandu lelaki berusia 61 tahun yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan

"Siasatan awal mendapati treler berkenaan dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai sebelum pemandunya menyedari sebuah motosikal bergesel pada bahagian tayar paling belakang sebelah kiri kenderaan berat itu.

"Akibat pergeseran tersebut, motosikal berkenaan terjatuh sebelum terseret oleh treler," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Ujar beliau, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk proses bedah siasat.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Menurut Mazlan, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai menerusi talian 09-9666222.