KUALA LUMPUR - Rumah Ronald McDonald (RMH) di Hospital Tunku Azizah (HTA) telah menerima kunjungan 4,000 keluarga yang menginap di rumah kebajikan itu sejak ia mula beroperasi pada 2021.
Pengurus Besar Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia), Nasri Nordin berkata, rumah tersebut menjadi pilihan penginapan sementara kepada keluarga pesakit pediatrik di hospital berkenaan berikutan pelbagai fasiliti dan kemudahan yang disediakan.
Menurutnya, berkonsepkan home away from home, ia direka khas untuk memberi keselesaan kepada keluarga dengan kemudahan lengkap seperti bilik keluarga, dapur, dobi, surau dan ruang permainan kanak-kanak.
"HTA merupakan salah satu hospital pediatrik utama di Malaysia yang menerima pesakit dari seluruh negara, jadi ramai ibu bapa terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk membawa anak mereka mendapatkan rawatan.
"RMH-HTA membolehkan keluarga tinggal berdekatan dengan anak mereka dan selesa pada kos yang berpatutan. Ini bukan sekadar tempat tinggal tetapi ia dapat memberi sokongan emosi kepada keluarga dalam masa sukar.
"Selain lokasi strategik di ibu kota, rumah ini menawarkan persekitaran kondusif dan selesa kepada pesakit semasa menjalani pemulihan. Lokasinya di kawasan hospital memudahkan pesakit untuk mendapatkan rawatan dan berada dekat dengan keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian RMHHTA di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Nasri berkata, RMHHTA telah beroperasi sejak empat tahun lalu ketika negara masih berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19 yang menyebabkan rumah kebajikan itu tidak membuat sebarang majlis perasmian.
"Pada waktu tersebut, kami mengutamakan keperluan keluarga dan terus membuka fasiliti tanpa mengadakan sebarang majlis rasmi.
"Kini, setelah beroperasi selama empat tahun dan membantu ribuan keluarga, kami mengambil kesempatan untuk meraikan pencapaian ini dan menghargai sokongan semua pihak yang terlibat dalam pengoperasian rumah ini,” ujarnya.
Bantu komuniti menerusi empat program utama
Dalam pada itu, Presiden RMHC Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, pihaknya sentiasa menyediakan sokongan kepada kanak-kanak dan keluarga yang memerlukan melalui empat program utama.
Ujar beliau, antaranya ialah menyediakan penginapan sementara untuk keluarga pesakit pediatrik yang dikenali sebagai RMH dan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald bagi membantu kanak-kanak berkeperluan khas dengan terapi serta pembelajaran sensori.
"Selain itu, Program Pek Kembali Ke Sekolah yang melibatkan bantuan keperluan persekolahan kepada murid daripada keluarga kurang berkemampuan dan Program Anugerah Senyuman yang menaja rawatan pembetulan kanak-kanak dengan masalah klef bibir atau lelangit.
"RMHC Malaysia kini berusia lebih 30 tahun dan kami sentiasa berusaha untuk memperluaskan lagi program sedia ada supaya lebih ramai keluarga dapat menerima manfaat.
"Kami juga merancang untuk menambah lebih banyak Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald di pelbagai lokasi supaya dapat membantu keluarga yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas,” katanya.
Tambah Azmir, RMH-HTA merupakan yang ketiga daripada empat rumah penginapan sementara yang telah ditubuhkan RMHC Malaysia di lokasi berbeza.
Menurutnya, empat RMH itu terletak di HTA, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM); Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS).
"RMHC Malaysia turut merancang untuk membuka fasiliti RMH kelima di Hospital Umum Sarawak menjelang 2026 sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk memastikan akses kesihatan kepada kanak-kanak yang lebih baik.
"Malah, kami tidak hanya menyediakan penginapan di hospital tetapi aktif dalam program komuniti,” katanya.
Tambah baik fasiliti RMH
Dalam pada itu, Pengurus Besar Kumpulan Reza Arab Saudi, Abdulrahman Alireza yang merupakan pemegang saham McDonald’s Malaysia, turut menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM100,000 kepada RMHC Malaysia bagi menyokong operasi dan menambah baik fasiliti serta kemudahan di RMH.
"Kami menyedari kepentingan RMH dalam menyediakan rumah berkonsepkan home away from home untuk keluarga yang menghadapi masa sukar.
"Sumbangan ini merupakan salah satu cara kami untuk membantu memastikan lebih ramai keluarga mendapat manfaat daripada kemudahan yang disediakan di rumah ini.
"Malah, RMHC Malaysia ialah badan amal pilihan McDonald’s Malaysia dan rakan kongsi utama dalam pelbagai inisiatif komuniti. Harapan kami supaya sumbangan ini dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk terus menyokong RMHC Malaysia,” katanya.